KITA baru sahaja menyambut Hari Pelarian Sedunia 2026 pada 20 Jun lalu. Sempena sambutan tersebut, seluruh masyarakat Malaysia diseru agar mendekati isu pelarian dengan sikap yang berasaskan fakta, keadilan, belas ihsan dan tanggungjawab bersama.
Keselamatan, maruah dan hak asasi manusia ialah nilai sejagat yang tidak boleh dipisahkan daripada usaha membina masyarakat yang aman dan berperadaban.
Sebahagian rakyat Malaysia mempunyai kebimbangan yang sah berkaitan aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan keharmonian sosial yang melibatkan komuniti pelarian.
Kebimbangan ini wajar didengar dan ditangani secara serius oleh semua pihak melalui pendekatan yang bertanggungjawab serta berasaskan data dan fakta sahih.
Dalam masa sama, kebimbangan yang wujud tidak boleh menjadi alasan untuk menormalisasikan kebencian, diskriminasi atau sentimen xenofobia terhadap pelarian dan pencari suaka. Kita perlu membezakan antara usaha menjaga keselamatan negara dengan kecenderungan menghukum seluruh kelompok yang berada dalam keadaan terdesak dan rentan.
Pendekatan yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak adalah penting bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan negara dan tuntutan kemanusiaan dapat dicapai.
Sehubungan itu, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menyokong beberapa keutamaan berikut:
- Tolak segala bentuk ucapan kebencian, diskriminasi dan hasutan terhadap pelarian serta komuniti rentan.
- Perkukuh pengurusan data, dokumentasi dan pendaftaran pelarian secara lebih sistematik dan telus.
- Jamin akses pendidikan kepada kanak-kanak pelarian tanpa diskriminasi.
- Perluas pendidikan awam dan literasi media bagi menangani maklumat palsu, fitnah serta sentimen xenofobia.
- Galak program orientasi budaya, pematuhan undang-undang dan tanggungjawab sosial bagi membantu pelarian menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat Malaysia.
- Rangka dasar dan pelan tindakan yang lebih menyeluruh bagi mengurus isu pelarian dengan mengambil kira keselamatan negara, kesejahteraan rakyat tempatan dan tanggungjawab kemanusiaan.
Isu pelarian memerlukan penyelesaian yang rasional, seimbang dan berperikemanusiaan, bukannya pendekatan yang berasaskan ketakutan atau prejudis.
Selagi masih ada insan yang hidup dalam ketakutan, kehilangan perlindungan dan dinafikan maruahnya, tanggungjawab kemanusiaan kita masih belum selesai. –UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)
Kuala Lumpur










