PERDEBATAN mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekali lagi memperlihatkan realiti yang sering berulang dalam politik Malaysia.
Kita sedar tentang sesuatu masalah, membincangkannya secara panjang lebar, menubuhkan jawatankuasa demi jawatankuasa, namun akhirnya memilih untuk menangguhkan keputusan kerana bimbang terhadap kesan politiknya.
Tidak dapat dinafikan UEC mempunyai kekuatan akademik dan berjaya melahirkan pelajar yang berdisiplin serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Malah, sijil tersebut diterima di beberapa universiti luar negara, khususnya di China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Namun persoalan utama bukan sama ada pelajar UEC bijak atau tidak tetapi adakah Malaysia masih mempunyai keberanian untuk membina sebuah identiti nasional yang benar-benar dikongsi bersama?
Selama puluhan tahun, negara membenarkan sistem pendidikan berkembang secara terpisah melalui sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Akibatnya, anak-anak membesar dalam dunia yang berbeza sejak kecil lagi. Mereka menggunakan bahasa harian yang berlainan, bergaul dalam kelompok sosial yang berasingan dan menyerap naratif budaya serta sejarah yang juga tidak sama. Keadaan ini akhirnya membentuk cara fikir dan identiti yang semakin jauh antara satu sama lain.
Ironinya, selepas beberapa dekad mempertahankan sistem terpisah ini, ahli politik pula bercakap tentang perpaduan nasional dan keharmonian kaum seolah-olah jurang sosial yang wujud hari ini muncul secara tiba-tiba. Hakikatnya, perpecahan sosial tidak berlaku secara kebetulan. Ia dibina secara perlahan-lahan, dinormalisasikan dalam politik dan dipelihara selama beberapa generasi.
Ramai ahli politik sebenarnya memahami keadaan ini. Mereka melihat hubungan antara kaum yang semakin renggang dan keresahan rakyat terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin longgar. Namun untuk mengakui punca sebenar keadaan tersebut memerlukan keberanian politik yang besar. Malangnya, keberanian seperti itu sering dianggap berisiko terhadap sokongan pengundi.
Oleh sebab itu, jalan paling mudah terus dipilih adalah dengan menjaga sensitiviti politik, mengelakkan perbincangan sukar dan menangguhkan persoalan besar tentang arah negara.
Membina negara bangsa memang sukar tetapi mengurus persepsi menjelang pilihan raya jauh lebih mudah.
Hakikatnya, tiada negara yang benar-benar serius tentang perpaduan nasional tetapi pada masa sama terus memperluaskan sistem pendidikan dan budaya yang terpisah. Sebuah negara tidak boleh terus membiarkan rakyat hidup dalam aliran yang berbeza dan kemudian terkejut apabila mereka gagal berkongsi identiti kebangsaan yang sama.
Bahasa pula bukan sekadar alat komunikasi tetapi jiwa kepada sesebuah negara bangsa. Indonesia memahami perkara ini sejak awal apabila berjaya membina kesatuan nasional melalui bahasa Indonesia walaupun mempunyai ratusan etnik dan bahasa daerah.
Malaysia pula kadangkala kelihatan seolah-olah menganggap bahasa Melayu penting hanya ketika majlis rasmi, slogan kenegaraan dan sambutan bulan merdeka.
Perdebatan mengenai UEC juga sebenarnya berkait dengan keresahan lebih besar dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu dan bumiputera. Mereka mula merasakan unsur teras identiti Melayu semakin diposisikan sekadar sebagai antara komponen dalam negara ini, bukannya asas utama pembentukan Malaysia.
Kebimbangan ini bukan lahir daripada kebencian terhadap kepelbagaian budaya.
Sebuah negara yang pelbagai tetap memerlukan satu kerangka sivik utama yang menyatukan rakyat. Antaranya melalui bahasa, kefahaman sejarah dan pusat graviti kebangsaan yang jelas. Tanpa semua itu, kepelbagaian akhirnya hanya menghasilkan kehidupan selari yang gagal bertemu pada tahap jiwa kebangsaan.
Sebab itulah kebimbangan terhadap UEC bukan semata-mata penolakan terhadap pendidikan Cina. Sebaliknya, berpunca daripada kegusaran Malaysia semakin menerima pemisahan pendidikan sebagai norma kekal tanpa membina falsafah integrasi nasional yang lebih tegas.
Jika pengiktirafan lebih luas terhadap UEC mahu dipertimbangkan, ia perlu hadir bersama syarat nasional yang jelas seperti penguasaan bahasa Melayu yang kukuh, pendidikan sejarah dan sivik yang mantap serta program integrasi antara sekolah yang benar-benar bermakna.
Jika tidak, Malaysia berisiko melahirkan generasi yang berkongsi lebuh raya, pusat beli-belah dan pilihan raya, tetapi tidak lagi berkongsi jiwa kebangsaan yang sama. –UTUSAN
PROFESOR SAID BANI C.M. DIN
Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia










