PENGANJURAN Minggu Industri oleh pelbagai fakulti dan universiti di seluruh negara semakin mendapat perhatian. Program seperti ini bukan sekadar acara tahunan atau memenuhi takwim akademik, tetapi menjadi platform strategik menghubungkan dunia akademik dengan realiti pekerjaan sebenar.
Kini, pelbagai fakulti seperti kejuruteraan, pengurusan perniagaan, teknologi maklumat, komunikasi dan sains gunaan mula mempergiatkan Minggu Industri dengan penglibatan aktif syarikat tempatan dan antarabangsa.
Melalui forum kerjaya, sesi perkongsian profesional, pameran teknologi, simulasi pekerjaan dan temu duga terbuka, mahasiswa memperoleh peluang untuk mendekati pemain industri secara langsung.
Pendekatan ini amat penting kerana ia membantu pelajar memahami kehendak sebenar pasaran kerja sering kali berbeza daripada teori di dalam kuliah. Realitinya, ramai graduan cemerlang masih berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana kurang pendedahan kepada dunia industri.
Antara manfaat terbesar kerjasama industri ialah peningkatan kebolehpasaran graduan. Melalui program latihan industri, projek bersama syarikat, pensijilan profesional dan pembelajaran berasaskan industri, pelajar dapat memahami cabaran dunia pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian.
Minggu Industri juga memberi peluang kepada pelajar membina jaringan profesional lebih awal. Dalam banyak keadaan, hubungan terjalin melalui program universiti menjadi pintu kepada peluang latihan industri, pekerjaan dan kolaborasi masa depan.
Ini membuktikan bahawa universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah, tetapi medan membina kesiapsiagaan kerjaya.
Lebih menarik, sesetengah universiti kini menjadikan Minggu Industri sebagai platform kolaborasi rentas disiplin.
Sebagai contoh, fakulti berkaitan teknologi bekerjasama dengan industri digital, manakala fakulti berkaitan pengurusan operasi dan pengangkutan pula berkolaborasi dengan syarikat logistik, penerbangan dan mobiliti pintar.
Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar melihat bagaimana pelbagai bidang saling berkait dalam dunia pekerjaan moden.
Kerjasama industri turut memberi impak besar terhadap penyelidikan dan inovasi. Banyak hasil penyelidikan universiti gagal dikomersialkan kerana kurangnya jaringan dengan pihak industri.
Sedangkan industri memiliki kapasiti kewangan, pengalaman pasaran dan rangkaian perniagaan yang mampu membawa inovasi akademik ke peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, pensyarah juga memperoleh manfaat besar melalui kolaborasi industri.
Pendedahan kepada amalan semasa industri membolehkan ahli akademik memahami perubahan teknologi, trend pekerjaan dan cabaran sebenar sektor profesional.
Ini secara tidak langsung membantu mereka menghasilkan pengajaran lebih kontekstual, praktikal dan dekat dengan realiti semasa.
Walau bagaimanapun, usaha memperkukuh hubungan universiti-industri masih berdepan beberapa cabaran seperti perbezaan budaya kerja, birokrasi dan perbezaan matlamat organisasi.
Universiti lazimnya memberi penekanan kepada penerbitan akademik dan pembangunan ilmu, manakala industri lebih fokus kepada pulangan pelaburan dan penyelesaian segera.
Justeru, kedua-dua pihak perlu membina persefahaman lebih strategik dan fleksibel. Penganjuran Minggu Industri juga tidak seharusnya bersifat simbolik atau sekadar memenuhi keperluan publisiti institusi.
Program hanya dianggap berjaya apabila mampu membuka peluang pekerjaan, memperluas jaringan profesional dan menghasilkan kolaborasi jangka panjang antara universiti dan industri.
Jika ekosistem akademik dan industri dapat diperkasa secara menyeluruh menerusi inisiatif seperti Minggu Industri dan kerjasama strategik berterusan, Malaysia bukan sahaja mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi, malah berpotensi menjadi negara ulung memimpin inovasi dan pembangunan ilmu di rantau ini. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Kampus Puncak Alam










