Mencari keadilan melalui saluran undang-undang

Mencari keadilan melalui saluran undang-undang

TEMPOH prosiding yang panjang, prosedur mahkamah yang kompleks serta kesukaran mendapatkan penjelasan sepanjang proses perundangan menjadi cabaran kepada pihak terlibat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA menulis surat ini bukan untuk mempengaruhi mana-mana prosiding mahkamah yang sedang berjalan atau mempertikaikan kuasa pihak pendakwaan dan badan kehakiman. Saya menghormati sepenuhnya proses undang-undang serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Tujuan saya menulis adalah untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang pengadu yang berusaha mendapatkan keadilan melalui saluran yang sewajarnya sejak tahun 2020.

Sepanjang tempoh tersebut, saya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, menghadiri pelbagai proses siasatan dan mengikuti perkembangan kes melalui saluran yang dibenarkan. Saya juga mendapatkan khidmat peguam persendirian serta peguam pemerhati bagi memastikan proses undang-undang dapat diikuti dengan teratur.

Walau bagaimanapun, saya mendapati perjalanan mendapatkan keadilan bukanlah sesuatu yang mudah. Tempoh yang panjang, pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi serta kesukaran mendapatkan penjelasan mengenai beberapa perkara telah menimbulkan cabaran yang besar kepada saya sebagai seorang pengadu.

Saya percaya setiap mangsa atau pengadu berhak mendapat layanan yang profesional, komunikasi yang jelas serta penjelasan yang sewajarnya mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan melalui saluran yang sah.

Pada masa sama, saya memahami pihak pendakwaan mempunyai budi bicara dalam membuat keputusan dan mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu perkara berdasarkan undang-undang dan fakta yang dikemukakan.

Saya berharap agar pengalaman yang saya lalui dapat membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan meningkatkan komunikasi, kecekapan pengurusan kes serta sokongan kepada mangsa dan pengadu yang terlibat dalam proses perundangan yang panjang.

Saya tidak berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, apatah lagi mempengaruhi prosiding mahkamah yang sedang berjalan. Sebaliknya, hanya berharap agar sistem keadilan terus diperkukuhkan demi kepentingan masyarakat serta memastikan keyakinan orang ramai terhadap institusi keadilan sentiasa terpelihara. –UTUSAN

N
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN