Masih ramai majikan belum sedia ambil pekerja OKU

Masih ramai majikan belum sedia ambil pekerja OKU

CABARAN pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia kini bukan lagi soal keupayaan, tetapi kesediaan ekosistem pekerjaan untuk membuka ruang yang adil dan saksama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJIAN Penggajian Orang Kurang Upaya (OKU) 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membawa satu berita yang pada zahirnya cukup memberangsangkan. 

Hampir 81 peratus majikan menilai etika kerja pekerja OKU setanding dengan pekerja lain, manakala lebih 72 peratus mengiktiraf sumbangan mereka terhadap produktiviti dan inovasi organisasi.

Namun di sebalik angka positif itu, muncul satu persoalan yang lebih besar, jika persepsi terhadap pekerja OKU begitu baik, mengapa hanya sekitar 22 peratus majikan di Malaysia menggaji mereka?

Jurang ini menunjukkan cabaran sebenar bukan lagi membuktikan kemampuan golongan OKU untuk bekerja. Sebaliknya, sama ada sistem pekerjaan negara benar-benar bersedia untuk menerima mereka secara inklusif dan bermakna.

Hasil kajian DOSM mendapati :  

  • Persepsi

Hakikat yang perlu diakui ialah majoriti dapatan positif dalam kajian DOSM datang daripada majikan yang sudah mempunyai pengalaman menggaji pekerja OKU. Pengalaman langsung ini membentuk persepsi yang lebih terbuka dan positif.

Namun bagaimana dengan majikan yang belum pernah mengambil pekerja OKU?

Tanpa pendedahan sebenar, ramai masih terperangkap dengan tanggapan lama pekerja OKU memerlukan perhatian tambahan, kurang produktif atau meningkatkan kos operasi. Kajian ini secara tidak langsung menunjukkan stigma masih wujud, bukan kerana bukti tetapi kerana kekurangan pengalaman.

  • Kerja setara

Kajian juga menunjukkan 31.4 peratus pekerja OKU berada dalam kategori pekerjaan asas. Sedangkan hari ini ramai individu OKU memiliki diploma, ijazah sarjana muda dan kelayakan profesional yang tinggi.

Adakah kita benar-benar menyediakan peluang berdasarkan kelayakan atau sekadar membuka ruang minimum untuk memenuhi tuntutan inklusiviti?

Lebih membimbangkan, perbincangan mengenai pekerjaan OKU di Malaysia masih terlalu tertumpu kepada soal pengambilan pekerja semata-mata. Sangat sedikit perhatian diberikan kepada aspek kenaikan pangkat, pembangunan kepimpinan, latihan lanjutan dan jaminan perkembangan kerjaya selepas mereka diterima bekerja.

  • Pelaksanaan lemah

Menariknya, lebih 90 peratus majikan menyokong kewujudan garis panduan khusus penggajian OKU. Ia menunjukkan ramai majikan sebenarnya tidak menolak pengambilan pekerja OKU, tetapi memerlukan panduan yang lebih jelas dan praktikal.

Cabaran pekerjaan OKU tidak boleh diselesaikan melalui insentif semata-mata. Ia memerlukan ekosistem sokongan yang menyeluruh melibatkan institusi pendidikan, agensi latihan, majikan, organisasi OKU dan kerajaan.

Antara aspek yang perlu diperkukuhkan termasuk program padanan pekerjaan yang lebih sistematik, sokongan bimbangan kerjaya yang berterusan, latihan mengikut jenis ketidakupayaan, serta pemantauan selepas pengambilan pekerja.

Usaha yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi platform MYFutureJobs dan program LINDUNG Kerjaya OKU merupakan langkah positif yang perlu diperluaskan dan diperkasakan.

Soal pekerjaan OKU di Malaysia perlu bergerak lebih jauh daripada sama ada mereka mampu bekerja atau tidak. Data sudah lama membuktikan kemampuan mereka.

Persoalan sebenar hari ini ialah sama ada pasaran kerja negara bersedia menyediakan ruang yang adil untuk mereka berkembang, menyumbang dan memimpin.

Inklusiviti yang sebenar bukan sekadar memberi tempat di meja. Ia bermaksud memastikan setiap individu diberi peluang yang setara untuk maju berdasarkan kemampuan dan kelayakan mereka.

Selagi jurang antara pengiktirafan dan peluang masih wujud, agenda pekerjaan OKU di Malaysia belum boleh dianggap berjaya. –UTUSAN

 

DR. WAN ARNIDAWATI WAN ABDULLAH

Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga

Fakulti Ekologi Manusia 

Universiti Putra Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN