Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, terdapat ribuan pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di negara ini. Sehingga akhir Februari 2026, jumlah tersebut mencecah kira-kira 215,600 orang, dengan 46 peratus terdiri daripada lelaki, 24 peratus wanita dan sekitar 64,680 merupakan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.
Konvensyen Pelarian 1951 merupakan perjanjian antarabangsa yang diwujudkan bagi melindungi golongan pelarian serta menetapkan hak asas yang perlu diberikan kepada mereka. Konvensyen ini turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa melalui konsep perkongsian tanggungjawab dalam menangani isu pelarian yang semakin kompleks.
Antara hak yang digariskan dalam konvensyen tersebut termasuk kebebasan beragama, kebebasan bergerak, hak mendapatkan pendidikan, hak bekerja serta akses kepada dokumen perjalanan. Selain itu, prinsip penting dalam konvensyen ini ialah larangan menghantar pulang pelarian ke negara asal sekiranya mereka berdepan ancaman keselamatan atau penindasan.
Sehingga kini, sebanyak 145 negara menyertai konvensyen tersebut. Namun, Malaysia masih belum mengambil langkah untuk menandatangani perjanjian berkenaan atas beberapa pertimbangan, termasuk kebimbangan terhadap kesan sosial, ekonomi dan kemungkinan peningkatan kemasukan pelarian secara besar-besaran.
Walaupun kebimbangan tersebut perlu diberi perhatian, namun Malaysia juga wajar menilai semula pendirian sedia ada dengan mengambil kira realiti semasa. Penyertaan dalam konvensyen berkenaan bukan semata-mata bermaksud membuka ruang tanpa kawalan kepada kemasukan pelarian, sebaliknya menyediakan kerangka perundangan yang lebih tersusun dalam mengurus isu pelarian mengikut piawaian antarabangsa.
Langkah tersebut juga boleh membantu kerajaan memperkukuh sistem pengurusan pelarian melalui dasar yang lebih jelas, mekanisme kawalan yang lebih berkesan serta perlindungan yang lebih teratur kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
Malaysia perlu mencari keseimbangan antara kepentingan negara dan tanggungjawab kemanusiaan. Pendekatan yang lebih menyeluruh membantu isu ini diurus secara lebih sistematik, selamat dan berlandaskan prinsip kemanusiaan. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










