Majikan pekerja asing perlu bertanggungjawab

Majikan pekerja asing perlu bertanggungjawab

PENTING supaya setiap pekerja asing menerima perlindungan yang sewajarnya sama seperti orang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP pekerja termasuk pekerja asing perlu dilayan dengan baik, adil serta penuh berperikemanusiaan, bukannya dilayan seperti hamba abdi, didera dan dianiaya.

Mereka juga adalah manusia sama seperti kita semua. Tidak ada sebarang sebab untuk menafikan hak pekerja asing menerima layanan yang baik dan adil daripada kita semua.

Buat sekian lama, Malaysia menjadi tarikan orang luar untuk datang dan mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka dan keluarga.

Pekerja asing yang ada dalam negara kita datang daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, India, Pakistan, Nepal dan lain–lain lagi. Pekerja asing yang datang ke Malaysia bekerja di pelbagai jenis sektor pekerjaan. Ada yang bekerja di sektor profesional secara kontrak dan ada yang bekerja di sektor 3D iaitu sektor kotor, bahaya dan rumit di mana kurangnya tenaga pekerja tempatan yang berminat untuk bekerja di sektor pekerjaan berkenaan.

Agak sedih untuk mendengar berita di mana pekerja asing di Malaysia terpaksa mengharungi pelbagai jenis salah laku daripada majikan serta persepsi negatif  masyarakat sekeliling. Antara masalah yang dihadapi oleh pekerja asing ini meliputi masalah penipuan, eksploitasi, penderaan, kemalangan di tempat kerja, pendedahan kepada kekotoran dan risiko penyakit serta penafian hak untuk menerima perlindungan.

Segala masalah berbangkit ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap reputasi negara kita di mata dunia. Penting supaya setiap pekerja asing menerima perlindungan yang sewajarnya sama seperti orang lain.

Rakyat Malaysia perlu memberi tekanan kepada majikan dan syarikat yang tidak bertanggungjawab. Jika tidak, kita mungkin akan melihat kemunculan banyak perhambaan zaman moden berlaku.

Kita tidak boleh biarkan perkara sebegini berlaku. Rakyat Malaysia juga perlu dididik pada setiap masa mengenai hak pekerja asing dan kepentingan untuk menghormati hati dan perasaan setiap manusia tanpa mengira latar belakang, keturunan ataupun warna kulit. –UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN