Lautan kita, tanggungjawab kita

Lautan kita, tanggungjawab kita

PELAN Tindakan Ekonomi Biru Malaysia berpotensi menjadi titik perubahan penting dalam pembangunan maritim negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Lautan Sedunia yang disambut setiap 8 Jun sepatutnya menjadi medan untuk menilai semula hubungan negara dengan laut.

Lautan bukan sekadar hamparan biru yang indah tetapi nadi kehidupan, sumber ekonomi, laluan perdagangan dan benteng keselamatan negara.

Bagi Malaysia, sebuah negara maritim yang dikelilingi laut dan terletak di laluan perdagangan strategik dunia menyebabkan pengurusan sumber laut perlu menjadi agenda utama negara.

Satu persoalan penting perlu diajukan ketika kerajaan bersedia melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Biru Malaysia, adakah pelan ini benar-benar mampu mengubah landskap maritim negara atau sekadar menjadi satu lagi dokumen dasar yang gagal diterjemahkan kepada tindakan?

Hakikatnya, tadbir urus lautan Malaysia masih berdepan pelbagai kelemahan. Pelbagai kementerian dan agensi menguruskan hal ehwal maritim secara berasingan sehingga menyebabkan pertindihan fungsi, kelewatan membuat keputusan dan kelemahan penguatkuasaan. Akibatnya, pencerobohan nelayan asing terus berlaku, pencemaran marin semakin membimbangkan dan ekosistem laut semakin terancam.

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Pelan Tindakan Ekonomi Biru hanya akan mencapai matlamat jika kerajaan memperkukuh penyelarasan antara agensi melalui mekanisme yang lebih berkesan di peringkat pusat. Tanpa reformasi institusi yang menyeluruh, ekonomi biru akan kekal sebagai slogan tanpa impak yang nyata.

Dalam masa sama, kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada komuniti pesisir. Nelayan tradisional, penduduk pulau dan masyarakat yang bergantung kepada sumber laut sering menjadi kumpulan yang paling terkesan dengan perubahan dasar dan pembangunan pesisir pantai. Mereka bukan sahaja mencari rezeki di laut, malah berperanan sebagai penjaga ekosistem marin.

Malangnya, suara mereka sering tenggelam dalam perancangan pembangunan berskala besar yang lebih menumpukan keuntungan ekonomi jangka pendek. Jika komuniti pesisir terus dipinggirkan, hanya menyebabkan konsep ekonomi biru kehilangan makna sebenar. Pembangunan maritim yang mampan perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Malaysia juga perlu berhenti bergantung kepada nostalgia kegemilangan maritim masa lalu. Kedudukan strategik negara di tengah-tengah laluan perdagangan dunia tidak menjamin kekuatan maritim pada masa hadapan. Sebaliknya, negara perlu melabur secara serius dalam teknologi pemantauan laut, memperkukuh undang-undang maritim dan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan bagi melindungi perairan negara daripada ancaman pencerobohan serta pencemaran.

Selain itu, Malaysia mesti berani menilai semula pendekatan lama yang tidak lagi berkesan. Tadbir urus maritim moden memerlukan penggunaan data yang tepat, penglibatan pakar akademik dan penerapan teknologi baharu seperti pemantauan satelit, dron serta kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini mampu membantu kerajaan mengesan aktiviti pencerobohan, pencemaran dan jenayah maritim dengan lebih pantas dan berkesan.

Sempena Hari Lautan Sedunia, negara tidak memerlukan lebih banyak janji atau slogan. Sebaliknya, Malaysia memerlukan tindakan jelas melalui penyelarasan institusi yang lebih kukuh, pelaburan teknologi maritim, kerjasama serantau dan penglibatan aktif komuniti pesisir dalam proses membuat keputusan.

Pelan Tindakan Ekonomi Biru Malaysia berpotensi menjadi titik perubahan penting dalam pembangunan maritim negara. Namun kejayaannya bergantung kepada kesungguhan semua pihak untuk melaksanakan reformasi yang diperlukan.

Laut bukan sekadar aset ekonomi tetapi juga warisan negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Masa hadapan maritim Malaysia tidak ditentukan oleh pelan yang dilancarkan hari ini tetapi oleh keberanian kita untuk bertindak dan melaksanakannya dengan komitmen nyata. –UTUSAN

PROFESSOR WAN IZATUL ASMA WAN TALAAT
Professor Undang-undang,
dan Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan,
Institut Oseanografi dan Sekitaran,
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN