Krisis kelahiran beri cabaran masa hadapan negara

Krisis kelahiran beri cabaran masa hadapan negara

KEMPEN kesedaran menggalakkan rakyat melahirkan anak sudah tidak lagi memadai sebaliknya, Malaysia memerlukan polisi yang lebih konklusif dan menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATA terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan satu realiti yang perlu diberi perhatian serius iaitu rakyat Malaysia kini semakin kurang mempunyai anak.

Pada 2024, jumlah kelahiran hidup menurun sembilan peratus kepada hanya 414,918 bayi berbanding 455,761 bayi pada tahun sebelumnya. Angka ini bukan sekadar statistik tetapi mencerminkan perubahan besar dalam struktur demografi negara kerana merupakan jumlah kelahiran terendah yang direkodkan sejak 1980.

Lebih membimbangkan, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) wanita di Malaysia kini berada pada paras 1.6 anak, jauh lebih rendah daripada kadar penggantian penduduk yang diperlukan iaitu 2.1. Jika trend ini berterusan, Malaysia bakal berdepan cabaran besar dalam mengekalkan keseimbangan antara jumlah penduduk, tenaga kerja dan keperluan pembangunan negara.

Isu bilangan anak mungkin dilihat sebagai keputusan peribadi sesebuah keluarga. Namun, realitinya, penurunan kadar kelahiran merupakan cabaran strategik yang boleh memberi kesan besar terhadap masa hadapan negara.

Krisis demografi ini berpotensi menjejaskan pasaran buruh, sistem pencen, perkhidmatan kesihatan awam serta daya saing ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Perbincangan mengenai isu ini sering kali terperangkap dalam persepsi generasi muda hari ini terlalu mengejar gaya hidup dan tidak mahu membina keluarga. Namun, pandangan tersebut tidak menggambarkan keseluruhan realiti. Sebahagian besar pasangan muda sebenarnya berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.

Kos sara hidup yang tinggi, harga rumah yang semakin sukar dicapai, kos penjagaan anak yang mahal serta ketidakstabilan pekerjaan menjadi antara faktor utama yang menyebabkan ramai pasangan menangguhkan perkahwinan atau mengehadkan bilangan anak.

Bagi sebahagian keluarga, keputusan tersebut bukan kerana tidak mahu mempunyai anak tetapi kerana kebimbangan terhadap kemampuan menyediakan kehidupan yang lebih baik.

Dengan kadar kesuburan yang terus menurun sejak 2013, Malaysia semakin menghampiri status negara menua. Apabila jumlah warga emas meningkat lebih cepat berbanding tenaga kerja muda, negara bakal berdepan tekanan besar terhadap sistem ekonomi dan sosial.

Bilangan pembayar cukai akan mengecil, kos penjagaan kesihatan akan meningkat dan sesetengah sektor ekonomi mungkin menghadapi kekurangan tenaga kerja.

Justeru, usaha menangani isu ini tidak boleh bergantung kepada kempen menggalakkan rakyat mempunyai lebih ramai anak semata-mata. Sebaliknya, Malaysia memerlukan dasar yang lebih menyeluruh bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong kehidupan berkeluarga.

Kerajaan perlu memperkukuh sokongan kepada keluarga melalui penyediaan subsidi taska berkualiti, dasar perumahan yang benar-benar mampu milik serta perlindungan pekerjaan yang lebih mesra keluarga.

Pada masa sama, sektor awam dan swasta perlu memperluaskan amalan kerja fleksibel supaya ibu bapa dapat menyeimbangkan tanggungjawab kerjaya dan keluarga.

Pengalaman negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan bantuan kewangan semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah kadar kelahiran apabila masyarakat sudah berdepan tekanan struktur yang besar.

Malaysia masih mempunyai ruang untuk bertindak sebelum masalah ini menjadi lebih serius.

Krisis kelahiran hari ini mungkin tidak kelihatan mendesak tetapi kesannya akan dirasai oleh generasi akan datang. Jika isu ini terus diabaikan, kekurangan bayi hari ini boleh berubah menjadi krisis ekonomi dan sosial yang jauh lebih besar pada masa hadapan. –UTUSAN

AHMAD NIZAM CHE KASIM & MOHD. HAFIZ UMMAH
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN