Keberanian sejarawan bukan pada retorik

Keberanian sejarawan bukan pada retorik

SEJARAWAN bukan sekadar pencatat kronologi tetapi pemegang amanah ilmu yang bertanggungjawab memelihara keaslian naratif sejarah daripada dipengaruhi ketidakadilan politik atau kepentingan tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA sejarawan dilabel sebagai ‘penakut’ dalam sebuah audio siar popular baru-baru ini, menyebabkan dunia akademik seolah-olah digegarkan dengan satu provokasi intelektual yang besar.

Kritikan membuka ruang perdebatan tentang peranan sebenar ahli sejarah dalam masyarakat moden. 

Dalam era media sosial yang bergerak pantas, masyarakat semakin cenderung menuntut jawapan segera bagi setiap isu sejarah dan politik. Namun, tuntutan sedemikian sering bertembung dengan disiplin ilmu sejarah yang menekankan ketelitian, penelitian sumber dan kesabaran intelektual.

Sejarawan terkenal E.H. Carr dalam karya What is History menegaskan sejarah ialah dialog berterusan antara masa lalu dan masa kini. 

Sementara itu, Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah pula mengingatkan manusia mudah terpengaruh dengan berita palsu dan naratif yang dibina demi kepentingan tertentu. 

Dalam konteks ini, ahli politik dan sejarawan sebenarnya bergerak dalam dua dunia yang berbeza. Ahli politik hidup dalam gelanggang persepsi dan mobilisasi massa, manakala sejarawan memikul tanggungjawab sebagai penyiasat ilmu yang wajib mempertahankan fakta melalui proses kritikan sumber yang ketat.

Sejarawan tidak boleh menjadi birokrat akademik yang lesu dan terasing di menara gading. Namun, mereka juga tidak boleh tunduk kepada tekanan emosi awam yang mahukan jawapan mudah terhadap setiap polemik sejarah. Sikap berhati-hati yang sering dipamerkan oleh ahli sejarah sebenarnya bukan tanda ketakutan tetapi manifestasi integriti akademik.

Leopold von Ranke, tokoh penting sejarah moden, menegaskan tugas ahli sejarah ialah menceritakan sesuatu peristiwa sebagaimana ia benar-benar berlaku. Oleh sebab itu, ‘diam’ seorang sejarawan kadangkala lahir daripada keperluan untuk memastikan fakta benar-benar sahih sebelum diperdebatkan di ruang awam.

Malangnya, dalam budaya media sosial hari ini, sikap berhati-hati tersebut sering disalah tafsir sebagai kelemahan. Kekosongan yang ditinggalkan oleh ahli akademik akhirnya diisi oleh ‘sejarawan segera’ media sosial yang lebih gemar mencipta sensasi dan mengejar pengaruh berbanding menegakkan kebenaran. Mereka membina naratif berdasarkan emosi, bukannya penelitian ilmiah.

Sejarah tamadun juga membuktikan retorik yang mengatasi kebenaran boleh menghancurkan sesebuah masyarakat. Ketika Athens mencapai kemuncak kegemilangannya di bawah Pericles, muncul kelompok sophist seperti Protagoras dan Gorgias yang memperdagangkan seni pidato demi kepentingan kuasa. 

Mereka menyuburkan budaya relativisme sehingga kebenaran menjadi sesuatu yang boleh dibentuk mengikut kehendak politik. Akibatnya, demokrasi Athens akhirnya merosot dan membuka jalan kepada kejatuhannya di tangan Sparta.

Dalam tradisi keilmuan Islam pula, disiplin pensejarahan mempunyai persamaan dengan metodologi mustalah al-hadith. Penilaian fakta sejarah memerlukan ketelitian terhadap sumber, sanad dan kandungan maklumat.

Sejarawan bukan sekadar pencatat kronologi tetapi pemegang amanah ilmu yang bertanggungjawab memelihara keaslian naratif sejarah daripada dipengaruhi ketidakadilan politik atau kepentingan tertentu. Jika fakta diputar belit demi memenuhi agenda politik, masyarakat akhirnya akan hidup dalam kepalsuan sejarah yang berpanjangan.

Tokoh seperti Marc Bloch dan Howard Zinn pernah menekankan pentingnya sejarah rakyat atau A People’s History.

Di Malaysia pula, mendiang Prof. Emeritus Tan Sri Dr.  Khoo Kay Kim sering mengingatkan sejarah ialah soal kebenaran dan apabila masyarakat enggan menerima kebenaran itu,  maka sejarah akan bertukar menjadi mitos. 

Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam pula menegaskan kepentingan filologi dan kritikan sumber dalam menentukan kesahihan sejarah Melayu. Bahkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mengingatkan agar masyarakat tidak mudah melabel ahli akademik kerana institusi pengajian tinggi (IPT) negara mempunyai sejarah panjang berhadapan tekanan politik.

Justeru, apabila ada pihak mendesak sejarawan supaya lebih ‘berani’, persoalan penting yang perlu ditanya ialah berani untuk apa? 

Jika keberanian itu bermaksud menjadi jurucakap propaganda politik atau memenuhi kehendak emosi massa, maka sejarah akan kehilangan maruah intelektualnya. 

Sebaliknya, jika keberanian itu bermaksud mempertahankan fakta walaupun tidak popular, maka itulah tugas sebenar seorang sejarawan.

Dalam masa sama, Malaysia memerlukan pendekatan sejarah yang lebih matang dan inklusif. Naratif berteraskan Malaysia perlu menjadi jambatan perpaduan yang menghubungkan pelbagai kaum tanpa menafikan akar sejarah asal negara ini.

Sejarah tidak boleh dibina atas penafian identiti pribumi tetapi juga tidak wajar berkembang menjadi naratif eksklusif yang meminggirkan kelompok lain.

Sudah tiba masanya sejarawan tempatan keluar daripada kepompong elitisme dan hadir lebih aktif di ruang awam seperti TikTok, YouTube dan audio siar. Kehadiran mereka bukan untuk menjadi populis tetapi memastikan masyarakat memperoleh akses kepada fakta yang sahih. 

Dalam dunia yang semakin dipenuhi politik persepsi, keberanian paling besar bagi seorang sejarawan hari ini ialah kekal setia kepada kebenaran sumber. –UTUSAN

 

IBRAHIM AHMAD

Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak

UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Ipoh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN