PERPADUAN merupakan asas utama keamanan dan kestabilan negara. Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai rakyat berbilang kaum, Malaysia perlu terus mengekalkan semangat hormat-menghormati dan toleransi agar keharmonian yang dikecapi selama ini tidak terjejas.
Namun begitu, perpaduan masyarakat di bina kini semakin tercabar khususnya melalui penyebaran isu sensitif di media sosial.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), ribuan kandungan berunsur provokasi, perkauman dan penghinaan agama telah dikenal pasti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Terdapat segelintir pihak yang sengaja memainkan sentimen perkauman serta agama sehingga menumbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Sekiranya perkara ini tidak dibendung segera boleh menyebabkan hubungan antara kaum semakin renggang sehingga berlaku rusuhan kaum.
Polarisasi kaum dalam kalangan generasi muda juga semakin membimbangkan. Masih terdapat segelintir masyarakat yang hanya bergaul dalam kelompok kaum sendiri sehingga menyebabkan kurangnya persefahaman antara satu sama lain. Jika keadaan ini berterusan, boleh menyebabkan semangat muhibah yang menjadi identiti Malaysia akan semakin luntur.
Menurut Indeks Perpaduan Nasional 2024, tahap perpaduan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan, namun cabaran sebenar dalam era digital masih perlu diberi perhatian serius. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat zaman ini terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan maklumat tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.
Bukan itu sahaja, kekurangan interaksi antara masyarakat berbilang kaum juga menjadi faktor perpaduan semakin rapuh. Yang paling penting, generasi muda perlu lebih didedahkan dengan aktiviti yang mampu memupuk semangat muhibah dan kerjasama tanpa mengira latar belakang.
Jadi, pendidikan perpaduan perlu diperkukuh sejak di bangku sekolah melalui program kokurikulum, sambutan perayaan bersama dan aktiviti kemasyarakatan.
Dalam masa sama, pengguna media sosial juga perlu lebih berhemah serta mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh mencetuskan kebencian.
Perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana keamanan negara bergantung kepada kesatuan rakyatnya. Janganlah kita terlalu leka sehingga membiarkan perpaduan negara semakin rapuh kerana keamanan Malaysia hari ini merupakan hasil usaha dan toleransi masyarakat sejak sekian lama. –UTUSAN
YAP YONG ZE
Kuala Lumpur










