Jangan biar kandungan pendek merosak otak

Jangan biar kandungan pendek merosak otak

KEMEROSOTAN minda bukan sahaja melemahkan keupayaan berfikir tetapi turut mengubah cara manusia memahami kehidupan secara keseluruhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA membuka telefon sekadar lima minit tetapi berlarutan hingga berjam-jam semakin menjadi kebiasaan dalam kehidupan moden. 

Satu video pendek membawa kepada video seterusnya, jari terus menatal tanpa sedar, manakala otak seolah-olah ‘terperangkap’ pada skrin walaupun tubuh dan minda sebenarnya sudah penat. 

Keadaan ini kini dikenali sebagai kemerosotan minda, iaitu keadaan apabila otak menjadi terlalu tepu dengan kandungan digital pantas sehingga menjejaskan fokus, daya fikir dan kestabilan emosi.

Kajian saintifik pada tahun 2025 bertajuk Demystifying the New Dilemma of Brain Rot in the Digital Era: A Review menjelaskan fenomena ini bukan sekadar istilah popular media sosial, sebaliknya melibatkan perubahan sebenar terhadap fungsi kognitif akibat pendedahan berlebihan kepada kandungan digital yang pantas dan berkualiti rendah.

Pendedahan berterusan kepada video pendek seperti TikTok, Reels dan YouTube Shorts boleh menyebabkan beban berlebihan kepada otak yang mengganggu fokus, memori, kawalan emosi dan keupayaan berfikir secara mendalam.

Fenomena ini turut dikaitkan dengan ketagihan digital, keresahan, kemurungan, keletihan mental serta perhatian yang semakin singkat. Akibatnya, manusia semakin sukar mengekalkan tumpuan dan kestabilan emosi dalam tempoh yang lama. Hakikatnya, otak manusia tidak direka untuk menerima rangsangan pantas tanpa henti kerana kehidupan dahulu lebih perlahan, melibatkan interaksi bersemuka, pembacaan sabar dan pembelajaran mendalam.

Namun kini, budaya kandungan segera seperti video 15 saat, muzik pantas dan pertukaran visual yang terlalu laju mengubah cara otak berfungsi. 

Rangsangan berterusan ini mempengaruhi sistem ganjaran otak melalui penghasilan dopamin yang mencetuskan rasa seronok dan ketagihan. Setiap video baharu memberi ‘ganjaran kecil’ yang mendorong keinginan untuk terus menonton tanpa henti.

Semakin kerap rangsangan diterima, semakin sukar otak menikmati aktiviti yang perlahan seperti membaca, mendengar penerangan panjang atau menumpukan perhatian dalam tempoh lama. Inilah yang menyebabkan ramai semakin hilang kemampuan untuk fokus kerana sudah terbiasa dengan hiburan segera.

Keadaan ini akhirnya membentuk budaya di mana perhatian manusia semakin mudah teralih. Ilmu, hubungan dan kejayaan semuanya memerlukan kesabaran dan tumpuan, namun budaya kandungan pendek menjadikan proses perlahan semakin tidak selesa.

Walaupun teknologi membawa banyak manfaat dalam komunikasi dan penyebaran ilmu, namun ketidakseimbangan penggunaannya boleh menjejaskan kesihatan mental serta kualiti kehidupan. 

Oleh itu, kawalan diri seperti mengehadkan penggunaan skrin, mengurangkan kandungan pendek, membaca bahan yang lebih panjang, serta meluangkan masa tanpa telefon menjadi langkah penting untuk memulihkan fokus.

Jika tidak dikawal, kemerosotan minda bukan sahaja melemahkan keupayaan berfikir tetapi turut mengubah cara manusia memahami kehidupan secara keseluruhan. –UTUSAN

 

DR. NURDIANAH HARIF FADZILAH

Pegawai Penyelidik,

Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, 

Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN