KEJADIAN seorang penunggang motosikal yang dilaporkan ditetak selepas membunyikan hon di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan baru-baru ini wajar menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Tanpa mendahului siasatan pihak berkuasa, insiden tersebut menimbulkan persoalan penting: Mengapa hon yang sepatutnya membantu mengelakkan risiko boleh dianggap sebagai provokasi?
Dalam konteks keselamatan trafik, hon ialah bahasa paling ringkas di jalan raya. Pengguna tidak boleh bercakap secara langsung ketika memandu atau menunggang. Oleh itu, hon digunakan untuk memaklumkan kehadiran kenderaan di kawasan titik buta, memberi amaran apabila kenderaan lain keluar dari simpang atau menarik perhatian pengguna yang tidak menyedari bahaya di depan.
Namun, cara hon digunakan mempengaruhi cara ia diterima. Bunyi hon yang panjang, berulang kali atau disertai tindakan mengejar, menghimpit kenderaan dan membrek secara mengejut boleh menimbulkan tekanan serta rasa tidak selamat. Ketika itu, hon tidak lagi berfungsi sebagai peringatan, tetapi menjadi sebahagian daripada tingkah laku agresif.
Satu kajian melibatkan pemandu di Turkiye mendapati membunyikan hon ialah antara bentuk luahan marah yang paling kerap digunakan dan dialami di jalan raya, bersama penggunaan lampu tinggi dan tindakan mengekori kenderaan terlalu rapat. Dapatan ini menunjukkan tindakan yang kelihatan kecil boleh menjadi sebahagian daripada tingkah laku agresif apabila emosi tidak dikawal.
Atas sebab itu, adab menggunakan hon perlu diberikan perhatian dalam pendidikan pemanduan dan kempen keselamatan jalan raya. Gunakan hon secara ringkas dan hanya apabila perlu. Penerima hon pula perlu memeriksa keadaan sekeliling terlebih dahulu bagi memastikan tiada risiko yang terlepas pandang.
Pendidikan pemanduan tidak seharusnya terhad kepada kemahiran mengawal kenderaan dan memahami peraturan. Pengguna juga perlu dibimbing untuk meredakan konflik serta mengawal tindak balas spontan. Sekiranya berhadapan dengan pemandu agresif, elakkan membalas, mengejar atau keluar dari kenderaan untuk bertengkar. Utamakan keselamatan diri dan dapatkan bantuan pihak berkuasa jika keadaan mengancam.
Keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung pada reka bentuk jalan, keadaan kenderaan dan penguatkuasaan undang-undang. Ia turut bergantung pada adab serta kematangan emosi pengguna. Hon sepatutnya membantu menyelamatkan nyawa, bukan mencetuskan permusuhan. Jangan anggap hon sebagai provokasi. –UTUSAN
DR. NORDIANA MASHROS
Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan
Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










