Jalan raya bukan litar perlumbaan

Jalan raya bukan litar perlumbaan

TRAGEDI di Simpang Renggam sepatutnya menjadi peringatan yang keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI yang meragut empat nyawa di Jalan Renggam–Simpang Renggam baru-baru ini bukan lagi boleh dianggap sebagai kemalangan biasa. 

Rakaman papan pemuka yang tular menunjukkan dua kenderaan dipandu pada kelajuan tinggi, termasuk tindakan memotong di garisan berkembar sebelum berlaku nahas yang mengorbankan satu keluarga serta pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Malaysia bukan negara yang kekurangan undang-undang jalan raya. Malaysia juga bukan negara yang kekurangan papan tanda had laju. Namun masalah terbesar hari ini ialah sikap pengguna jalan raya yang semakin hilang rasa tanggungjawab terhadap keselamatan awam.

Data rasmi menunjukkan keadaan ini bukan perkara kecil. Statistik yang dilaporkan pada 2025 menunjukkan Malaysia merekodkan purata 1,729 kemalangan jalan raya setiap hari dengan sekitar 14 kematian sehari akibat kemalangan trafik. Ini bermakna hampir setiap dua jam, seorang rakyat Malaysia maut di jalan raya.

Fungsi utama jalan raya bukan untuk membolehkan kenderaan bergerak sepantas mungkin. Fungsi sebenar jalan raya ialah memastikan pergerakan manusia dan barangan dapat dilakukan secara selamat, cekap dan terkawal.

Hakikatnya, kebanyakan kemalangan maut berlaku bukan kerana pemandu tidak tahu memandu tetapi mereka sengaja mengambil risiko yang tidak sepatutnya.

Kajian berkaitan kemalangan jalan raya di Malaysia juga menunjukkan faktor manusia kekal menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut. Antara faktor paling dominan ialah pemanduan melulu, ketidakpatuhan terhadap peraturan jalan raya dan tingkah laku berisiko ketika memandu.

Dalam kes di Simpang Renggam, apa yang paling menyedihkan ialah mangsa yang terkorban bukan pihak yang mencetuskan risiko tersebut. Mereka hanya berada di tempat yang salah ketika individu lain membuat keputusan yang salah.

Keadaan ini memerlukan pendekatan yang lebih tegas daripada pihak berkuasa. Penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada operasi bermusim ketika musim perayaan. Penggunaan teknologi seperti kamera pemantauan pintar, sistem pengesanan kelajuan automatik dan analisis data trafik perlu diperluaskan secara lebih agresif.

Hukuman terhadap pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu perlu benar-benar memberi kesan. Masyarakat perlu melihat bahawa kehilangan nyawa manusia bukan kesalahan kecil yang boleh diselesaikan dengan denda semata-mata.

Pendidikan keselamatan jalan raya juga perlu dirombak. Kempen sedia ada terlalu banyak menumpukan slogan tetapi kurang memberi kesan emosi kepada masyarakat. Rakyat perlu didedahkan kepada realiti sebenar akibat kemalangan. 

Di sebalik setiap angka kematian terdapat keluarga yang musnah, anak-anak yang kehilangan ibu bapa dan ibu bapa yang kehilangan anak.

Tragedi di Simpang Renggam sepatutnya menjadi peringatan yang keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan semata-mata, sebaliknya semua pengguna jalan raya.

Jalan raya ialah ruang awam yang dikongsi bersama. Apabila seseorang memilih untuk memandu secara melulu, dia sebenarnya sedang mengancam keselamatan orang lain yang tidak bersalah.

Empat nyawa terkorban dalam tragedi ini. Persoalannya sekarang bukan siapa yang paling laju tetapi sampai bila kita mahu terus membenarkan budaya pemanduan berbahaya meragut nyawa rakyat Malaysia?

Jika sikap tidak berubah, tragedi seperti ini bukan yang terakhir. Ia hanya menunggu masa untuk berulang dengan mangsa yang berbeza. –UTUSAN

 

DR IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT

Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), 

University Teknologi Mara (UiTM) Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN