PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baharu sahaja melabuhkan tirainya, namun persoalannya benarkah generasi muda tidak membaca, atau sebenarnya cara mereka membaca yang telah berubah?
Ramai generasi muda kini mendapatkan maklumat dan ilmu melalui pelbagai medium digital. Sebagai contoh, fenomena BookTok, iaitu salah satu komuniti membaca di aplikasi TikTok menunjukkan bahawa media sosial mampu menjadi ruang untuk menghidupkan semula minat membaca.
Media sosial telah menjadikan aktiviti membaca sebagai sebahagian daripada identiti dan interaksi sosial pengguna. Pembaca bukan sahaja membaca, malah turut berkongsi ulasan, petikan dan pengalaman membaca kepada komuniti dalam talian.
Lebih menarik, sesetengah buku kembali popular bukan melalui ulasan akademik atau promosi secara konvensional, tetapi menerusi perkongsian santai para pengguna.
Perubahan tingkah laku pembaca ini adalah sebuah isyarat bahawa pendekatan penyampaian kandungan juga perlu berkembang mengikut realiti semasa.
Melalui pemerhatian, banyak penerbitan kini mula menggunakan pendekatan kandungan berbentuk frasa pendek atau ayat ringkas sebagai daya tarikan awal.
Justeru, penerbit hari ini perlu lebih kreatif dalam membina jambatan antara kandungan yang bersifat pantas dengan pembacaan yang lebih mendalam.
Kandungan ringkas di media sosial misalnya, boleh dijadikan ‘pintu masuk’ untuk menarik minat pengguna kepada bahan bacaan yang lebih berkualiti dan menyeluruh.
Industri penerbitan perlu menerima hakikat bahawa generasi pembaca hari ini mempunyai tingkah laku dan jangkaan yang berbeza. Pembaca kini, terutama generasi muda cenderung mahukan kandungan yang lebih interaktif, mudah diakses dan dekat dengan kehidupan mereka.
Ini sekali gus menuntut komitmen industri penerbitan untuk terus kreatif dalam menyesuaikan pendekatan penerbitan serta promosi dengan landskap media semasa.
Strategi seperti promosi interaktif, perkongsian petikan buku, ulasan santai dan penggunaan platform digital secara agresif mampu mendekatkan generasi muda dengan dunia perbukuan.
Penggunaan media sosial kini bukan lagi sekadar medium pemasaran tambahan, tetapi telah menjadi sebahagian daripada ekosistem pembacaan moden.
Namun, ia tidak seharusnya mengetepikan kepentingan budaya membaca secara mendalam dan komprehensif.
Sebagai contoh, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan merupakan inisiatif yang melestarikan budaya pembacaan berkualiti sepanjang hayat dalam kalangan murid. Program sebegini terbukti penting dalam meningkatkan tahap kognitif, afektif generasi baharu.
Keupayaan untuk membaca secara kritis, memahami konteks dan menilai maklumat kekal sebagai kemahiran penting dalam era digital.
Dalam dunia yang dibanjiri maklumat pantas dan kandungan tular, masyarakat memerlukan lebih daripada sekadar kebolehan membaca. Mereka perlu memiliki benteng keupayaan untuk menapis, memahami dan menilai maklumat yang diterima dengan bijak.
Oleh itu, cabaran utama kini bukan sekadar memastikan generasi muda terus membaca, tetapi bagaimana memastikan mereka tetap mempunyai ruang untuk pembacaan yang kritis, mendalam dan berkualiti dalam persekitaran digital.
Justeru, tumpuan seharusnya diberikan kepada bagaimana masyarakat dapat menyesuaikan budaya ilmu dengan perubahan teknologi, tanpa kehilangan nilai pemikiran kritis dan pembacaan yang berkualiti.
Generasi muda mungkin tidak lagi membaca menggunakan kaedah yang sama seperti dahulu, tetapi itu tidak bermaksud budaya membaca telah mati. Sebaliknya, ia sedang berubah mengikut realiti kehidupan digital masa kini. – UTUSAN
DR. SITI NASARAH ISMAIL
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan










