Bantu semua umat Islam yang menderita di seluruh dunia

Bantu semua umat Islam yang menderita di seluruh dunia

SEMUA umat Islam yang menjadi mangsa penindasan dan kekejaman perlu dibantu secara adil agar tidak timbul perasaan terpinggir atau dianaktirikan dalam kalangan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG Islam adalah saudara orang Islam yang lain. Semangat solidariti ataupun semangat persaudaraan seagama yang sentiasa dilaung–laungkan oleh umat Islam di serata dunia ini harus dijadikan panduan asas bagi kita menghulurkan segala jenis bantuan kepada semua umat Islam yang teraniaya tanpa mengira siapa mereka dan di mana mereka berada.

Walaupun dunia semakin moden, namun masih wujud penindasan dan kekejaman terhadap sesama manusia hanya kerana perbezaan agama dan kaum.

Keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin amat penting, namun pada masa sama, perhatian dunia Islam juga tidak boleh terhenti di Gaza semata-mata. Masih ramai umat Islam di pelbagai negara yang berdepan penindasan, konflik dan kekejaman yang menuntut solidariti serta pembelaan yang sama.

Kisah penindasan dan kekejaman yang dilalui etnik Uighur hampir terlepas daripada perhatian dunia. Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini berita penderitaan yang terpaksa dilalui oleh mereka mula dibangkitkan oleh media tempatan dan antarabangsa.

Ramai yang tidak mengetahui mengenai penderitaan yang terpaksa dilalui etnik ini sedangkan mereka telah melalui pelbagai penderitaan semenjak 1949. Amat menyedihkan, tiada sesiapa yang berani bersuara terhadap nasib malang yang terpaksa dilalui oleh etnik Uighur termasuklah dalam kalangan negara–negara Islam.

Etnik Rohingya yang beragama Islam di Myanmar juga menghadapi masalah yang sama seperti yang dilalui oleh rakyat Palestin dan etnik Uighur di China. Tiada sesiapa mahu membangkitkan masalah yang dihadapi etnik Rohingya termasuklah dalam kalangan negara–negara Islam sehingga berlakunya kebanjiran pelarian etnik ini ke pantai negara–negara berhampiran bagi dapatkan perlindungan beberapa tahun lalu.

Ramai etnik Rohingya yang dipaksa keluar dari tanah air mereka sendiri oleh pihak junta tentera berkuasa di Myanmar pada 1962.

Penindasan dan kekejaman yang terpaksa dilalui etnik Rohingya berterusan berlaku sehingga kini sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka terpaksa lari meninggalkan tempat lahir dan menjadi pelarian termasuklah di Bangladesh dan Malaysia.

Kerana itu, penting supaya satu usaha bersepadu diambil oleh semua negara–negara Islam bagi mencari jalan bagi membantu semua umat Islam yang teraniaya ini.

Tumpuan bantuan kemanusiaan tidak seharusnya hanya diberikan kepada masyarakat atau etnik Islam di sesebuah negara tertentu, sebaliknya perlu diperluaskan secara adil kepada semua umat Islam yang sedang berdepan penindasan, kekejaman dan krisis kemanusiaan di pelbagai wilayah dunia.

Pada masa sama, bantahan dan kecaman terhadap segala bentuk penindasan serta pencabulan hak asasi manusia perlu dilakukan secara konsisten tanpa dipengaruhi oleh pertimbangan politik, kepentingan ekonomi atau hubungan diplomatik dengan mana-mana negara yang terlibat. Prinsip keadilan menuntut agar setiap mangsa dizalimi diberikan perhatian dan pembelaan yang sewajarnya tanpa mengira lokasi atau latar belakang mereka.

Semua umat Islam yang menjadi mangsa penindasan dan kekejaman perlu dibantu secara saksama agar tidak timbul perasaan terpinggir atau dianaktirikan dalam kalangan mereka. Semangat ukhuwah dan solidariti Islam hendaklah diterjemahkan melalui tindakan yang adil, menyeluruh dan berterusan, sekali gus mencerminkan nilai rahmah dan keadilan yang menjadi teras ajaran Islam.

Selain mengukuhkan perpaduan sesama umat Islam, pendekatan yang adil dan konsisten ini juga mampu meningkatkan penghormatan masyarakat antarabangsa terhadap umat Islam serta agama Islam itu sendiri. Justeru, amalan pilih kasih dalam menghulurkan bantuan atau menyuarakan pembelaan terhadap umat Islam yang tertindas perlu dielakkan, agar semangat persaudaraan Islam benar-benar dizahirkan dalam bentuk tindakan, bukan sekadar retorik. –UTUSAN

 

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN