Ancaman penipuan dalam talian semakin parah

Ancaman penipuan dalam talian semakin parah

PENGGUNA internet masih mudah mempercayai maklumat diterima melalui media sosial, aplikasi pesanan ringkas atau panggilan telefon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN teknologi digital membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, termasuk memudahkan urusan perbankan, pembelian dalam talian dan komunikasi harian. Namun, di sebalik kemudahan tersebut, jenayah siber khususnya penipuan dalam talian semakin menjadi ancaman serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Hari ini, penipuan dalam talian bukan lagi melibatkan kes terpencil, sebaliknya berkembang menjadi masalah yang menjejaskan keselamatan kewangan, kesejahteraan emosi dan keyakinan masyarakat terhadap ekosistem digital negara.

Sindiket penipuan menggunakan pelbagai taktik seperti panggilan telefon palsu, penipuan pelaburan, cinta, pembelian dalam talian serta penyamaran sebagai pegawai kerajaan atau institusi kewangan.

Modus operandi mereka juga semakin canggih dan sukar dikesan. Penjenayah sering mencipta situasi yang mendesak atau menakutkan bagi mempengaruhi mangsa membuat keputusan secara terburu-buru.

Ada mangsa yang diarahkan memindahkan wang kononnya untuk mengelakkan tindakan undang-undang, manakala ada pula yang diperdaya melalui tawaran pinjaman palsu dengan alasan perlu membayar sejumlah wang bagi meningkatkan skor kredit atau meluluskan permohonan pinjaman.

Antara faktor yang menyumbang peningkatan kes ini ialah tahap literasi digital masih rendah dalam kalangan sebahagian masyarakat. Ramai pengguna internet masih kurang peka terhadap risiko keselamatan siber dan mudah mempercayai maklumat diterima melalui media sosial, aplikasi pesanan ringkas atau panggilan telefon.

Selain itu, media sosial turut menjadi platform utama sindiket mencari mangsa. Iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa, tawaran pekerjaan meragukan dan akaun palsu sering digunakan untuk memperdaya pengguna. Akibatnya, ramai mangsa kehilangan wang simpanan yang dikumpulkan selama bertahun-tahun dalam tempoh yang singkat.

Kesan penipuan dalam talian bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah turut menjejaskan kesihatan mental mangsa.

Ada yang mengalami tekanan emosi, hilang keyakinan diri dan terpaksa menanggung beban hutang yang besar. Dari sudut negara pula, peningkatan kes penipuan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keselamatan digital serta menghambat perkembangan ekonomi digital.

Oleh itu, usaha membanteras penipuan dalam talian memerlukan kerjasama semua pihak. Selain penguatkuasaan dan kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan, masyarakat juga perlu meningkatkan pengetahuan keselamatan siber dan sentiasa berwaspada ketika berurusan dalam talian.

Ancaman penipuan dalam talian dapat dibendung dengan lebih berkesan hanya melalui sikap berhati-hati dan kesedaran yang tinggi. -UTUSAN

NOOR NABILA EDAYU ABDUL RAHIM
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN