SAYA merujuk kepada ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk “Beri sokongan pada perpustakaan desa” pada 27 April lalu, yang menampilkan gambaran optimistik tentang peranan perpustakaan desa sebagai sebuah hab komuniti.
Ia juga menunjukkan usaha serius kerajaan dalam membudayakan amalan membaca serta memperkukuh perpaduan melalui perkongsian ilmu. Namun, persoalan sebenarnya adalah: Adakah situasi ini mencerminkan realiti sebenar di lapangan, atau sekadar laporan kejayaan di atas kertas?
Banyak perpustakaan desa berada dalam keadaan lesu, dengan kehadiran pengunjung yang rendah dan suasana yang tidak menggalakkan. Dalam sesetengah kes, perpustakaan ini dilihat “hidup segan mati tak mahu”; ia masih wujud, namun tidak benar-benar hidup sebagai pusat komuniti yang aktif.
Sebahagian masalah ini mungkin berpunca daripada pendekatan pengurusan yang masih di takuk lama. Walaupun dikatakan bahawa perpustakaan desa menekankan konsep inklusif dan dinamik, realitinya, masih terdapat perpustakaan yang dikendalikan dengan mentaliti lama.
Kakitangan perpustakaan kadangkala dilihat berminda 90an, terlalu berpegang kepada peraturan, kurang mesra pelanggan dan tidak proaktif dalam menarik pengunjung.
Dalam era di mana pengguna mempunyai banyak pilihan seperti kafe-kafe moden serta ruang kerja bersama, perpustakaan yang tidak mesra akan terus ditinggalkan.
Lebih penting lagi, kejayaan sesebuah perpustakaan tidak boleh hanya diukur melalui jumlah program atau penyertaan. Berapa ramai peserta program-program ini yang telah dapat membentuk tabiat membaca sebuah gaya hidup?
Berapa banyak pula perpustakaan yang digunakan secara konsisten selepas program berakhir? Bagaimana pula impak program ini dalam membantu para pesertanya untuk menjadi lebih cakna tentang maklumat terutamanya yang datang tanpa kawalan daripada media sosial?
Isunya bukanlah pada konsep perpustakaan, tetapi pada bagaimana ia dilaksanakan di peringkat tempatan. Sebenarnya, perpustakaan desa mempunyai potensi yang besar. Tapi ia memerlukan transformasi yang serius.
Ia perlu beralih daripada sekadar sebuah pusat buku kepada hab digital dengan menyediakan internet berkelajuan tinggi, komputer moden dan akses kepada sumber dalam talian. Dalam banyak kawasan luar bandar, perpustakaan boleh menjadi satu satunya ruang untuk akses digital yang berkualiti.
Selain itu, ruang perpustakaan perlu diimaginasikan semula supaya lebih fleksibel dan mesra pengguna, demi membolehkan perbincangan kumpulan dan aktiviti komuniti bercambah secara meluas.
Namun, perubahan paling kritikal pastinya pada aspek sumber manusia. Kakitangan perpustakaan perlu dilatih semula agar lebih mesra pelanggan, proaktif dan terbuka. Perpustakaan tidak boleh lagi berfungsi sebagai ruang sunyi yang penuh larangan.
Ia perlu menjadi ruang yang mengalu-alukan kehadiran masyarakat. Tanpa perubahan sikap ini, sebarang penambahbaikan fizikal tidak akan memberi sebarang kesan yang besar.
Benar. Kita perlu terus memberi sokongan terhadap perpustakaan desa. Tetapi sokongan sahaja tidak mencukupi. Jika perpustakaan terus berada dalam keadaan lesu, “hidup segan mati tak mahu”, maka segala angka dan statistik tidaklah membawa makna yang sebenar.
Perpustakaan desa masih relevan, seperti yang dibuktikan oleh penggunaan tinggi di peringkat global, tetapi kerelevanan itu hanya akan tercapai jika disertai dengan perubahan yang berani dan menyeluruh.
Jika tidak, perpustakaan akan terus wujud sebagai hanya sebagai struktur fizikal, tetapi gagal berfungsi sebagai nadi ilmu masyarakat. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan, UiTM Cawangan Perak








