Pastikan tragedi buli tidak berulang

Pastikan tragedi buli tidak berulang

AKTA Antibuli 2026 melindungi kanak-kanak dan memastikan persekitaran yang lebih selamat di sekolah dan institusi yang berkaitan di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang berharap Akta Antibuli 2026 yang diluluskan oleh Parlimen dapat menangani masalah buli. Akta Antibuli 2026, yang diluluskan oleh Parlimen pada 3 Disember 2025 yang lalu bertujuan untuk mewujudkan mekanisme khusus untuk menangani kes buli yang melibatkan semua mangsa seperti yang ditakrifkan dan diperuntukkan di bawah akta tersebut.

Di bawah akta ini, Menteri Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Menteri Pertahanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Menteri Dalam Negeri diberi kuasa untuk mengurus dan mengawal selia kes buli di institusi pendidikan atau institusi lain di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.

Tribunal Anti-Buli akan ditubuhkan sebagai badan separa kehakiman khusus untuk menerima, mendengar dan menentukan aduan buli yang dikemukakan oleh pihak mangsa.

Tribunal ini juga akan diberi kuasa untuk memberikan pampasan yang sewajarnya atau mengeluarkan perintah yang sesuai untuk tujuan perlindungan dan keadilan kepada mangsa buli.

Akta ini menandakan komitmen yang tegas untuk melindungi kanak-kanak dan memastikan persekitaran yang lebih selamat di sekolah dan institusi yang berkaitan di seluruh negara.

Dengan memberi kuasa kepada Tribunal Anti-Buli untuk menangani aduan dan memberikan pampasan sehingga RM250,000, akta ini menyediakan mangsa dengan akses yang bermakna kepada proses keadilan sambil menghantar mesej pencegahan yang kuat untuk semua pihak untuk tidak melakukan buli.
Kemasukan elemen pemulihan, seperti kaunseling atau perintah sokongan keibubapaan untuk penjaga pesalah, mencerminkan pendekatan pemulihan yang selaras dengan prinsip keadilan, pembaharuan dan akauntabiliti kontemporari.

Kerajaan juga telah menyatakan hasrat mereka untuk mengkaji memperluaskan skop Akta Antibuli 2026 pada tahun ini untuk merangkumi individu berumur 18 tahun ke atas, terutamanya mereka yang berada dalam pendidikan peringkat tinggi. Penting untuk ditekankan, buli tidak terhad pada usia.

Buli juga boleh berlaku disemua peringkat usia sama ada dalam universiti, di tempat kerja, ataupun dalam masyarakat umum.

Adalah diharapkan pihak kerajaan memperluaskan skop Akta Antibuli 2026 ini kepada semua pihak tanpa mengira had usia mereka.

Banyak kali, kita telah didedahkan dengan kisah-kisah mengerikan yang melibatkan buli yang berlaku terhadap pelajar sekolah dan universiti dalam negara kita. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN