BUDAYA bermaaf-maafan semakin jarang diamalkan, hanya dilihat pada perayaan Aidilfitri, sedangkan Islam sangat menuntut umatnya saling memaafkan dan menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang berlapang dada.
Allah SWT menegaskan orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang lain tergolong dalam kalangan hamba yang dikasihi-Nya.
Walaupun kemaafan bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila luka yang ditinggalkan begitu mendalam tetapi apabila seorang mukmin tetap memilih untuk mengutamakan reda Allah berbanding rasa sakit di hati. Sifat pemaaf ini lahir daripada jiwa yang yakin Allah ialah al-‘Afuw, (Tuhan Yang Maha
Memaafkan) dan hanya dengan memaafkan kita juga akan dimaafkan.
Sejarah Islam menjadi sumber kekuatan untuk mendidik hati agar mudah memaafkan. Kisah Hadith al-Ifk yang menimpa Sayyidatina Aisyah RA menunjukkan ujian fitnah yang sangat berat sehingga menggoncang emosi Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq.
Fitnah tersebut turut melibatkan orang yang pernah dibantu Abu Bakar, namun tersilap menyebarkan tuduhan palsu.
Apabila Allah SWT menurunkan wahyu yang membersihkan nama Aisyah RA, Allah tidak hanya menegakkan kebenaran tetapi juga mendidik hati Abu Bakar agar tidak membalas dendam.
Sebaliknya, Allah memerintahkan agar beliau memaafkan dan meneruskan bantuan kepada orang yang pernah mengkhianati dirinya, dengan janji Allah akan mengampunkan dosanya.
Perintah itu mengubah hati Abu Bakar al-Siddiq. Walaupun marahnya wajar, beliau memilih untuk taat kepada Allah. Beliau kembali memberi nafkah kepada Mistah bin Utsatsah seperti biasa, membuktikan keampunan Allah lebih besar daripada luka manusia.
Kisah ini mengajar kemaafan bukan tanda lemah tetapi tanda kekuatan iman. Dalam kehidupan hari ini, perselisihan kita sering kali jauh lebih kecil, namun masih sukar untuk saling memaafkan. Sedangkan Islam mendidik kita supaya tidak menjadikan dendam sebagai amalan.
Oleh itu, budaya bermaaf-maafan perlu dihidupkan semula dalam masyarakat. Ia bukan sekadar tradisi bermusim tetapi amalan berterusan yang menyatukan hati, merawat luka dan membawa rahmat dalam hubungan sesama manusia. – UTUSAN
DR. SYED SULTAN BEE PACKEER MOHAMED
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










