Wakalah zakat Tabung Haji ringankan beban pelajar UPNM terjejas kebakaran

Wakalah zakat Tabung Haji ringankan beban pelajar UPNM terjejas kebakaran

MUHAMMAD Yusuf Irfan Hairul Anuar menerima sumbangan wakalah zakat Tabung Haji menerusi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGIHAN wakalah zakat Tabung Haji menerusi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi sinar harapan kepada seorang pelajar universiti yang kehilangan hampir keseluruhan harta benda selepas kediaman keluarganya musnah dalam kebakaran ketika umat Islam baru sahaja menyambut Aidilfitri.

Musibah yang menimpa keluarga Muhammad Yusuf Irfan Hairul Anuar, 20, bukan sahaja ‘meragut’ tempat berteduh, malah menguji kelangsungan hidup dan pengajiannya sebagai pelajar Tahun Pertama Ijazah Sarjana Muda Pertahanan dan Keselamatan Islam di Akademi Pengajian Pertahanan Islam (APPI), UPNM.

Menurut Muhammad Yusuf Irfan, kebakaran tersebut berlaku secara pantas dan tidak dijangka, menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan harta benda dan keperluan asas.

“Kami hanya sempat menyelamatkan diri. Semua pakaian, kelengkapan harian dan barangan pengajian musnah. Raya kami tahun ini benar-benar berbeza,” katanya.

Prihatin terhadap kesukaran yang dialami pelajarnya, UPNM menerusi Pusat Pengurusan Wakaf (PPW) menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 hasil wakalah zakat Tabung Haji, bagi membantu meringankan beban kewangan mangsa kebakaran tersebut.

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf UPNM, Prof. Dr. Sayuti Ab. Ghani, berkata bantuan berkenaan membuktikan peranan signifikan agihan zakat yang diurus secara sistematik dan beramanah dalam membantu golongan memerlukan, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Agihan wakalah zakat Tabung Haji ini membolehkan bantuan disampaikan dengan segera kepada pelajar yang benar-benar terkesan akibat musibah. Ia mencerminkan tujuan zakat sebagai instrumen kebajikan dan perlindungan sosial,” katanya.

Beliau menegaskan UPNM akan terus memanfaatkan amanah wakalah zakat tersebut bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara, terutama apabila berdepan situasi luar jangka yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup dan tumpuan akademik.

Kunjungan prihatin ke kediaman pelajar berkenaan turut disertai Pensyarah Kanan APPI, Muhammad Ammar Farhan Ramlan serta Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengurusan Wakaf UPNM, Ahmad Sani Ismail sebagai tanda sokongan moral dan bukti  pengurusan zakat universiti bukan sekadar bersifat pentadbiran, malah menyantuni penerima secara langsung.

Bagi Muhammad Yusuf Irfan, sumbangan hasil wakalah zakat Tabung Haji itu memberi kelegaan besar kepada keluarganya untuk memulakan semula kehidupan selepas tragedi.

“Bantuan ini sangat bermakna. Sekurang-kurangnya kami dapat membeli keperluan asas dan saya boleh meneruskan pengajian dengan lebih tenang,” katanya.

Agihan tersebut sekali gus menonjolkan keberkesanan kerjasama antara institusi pengurusan zakat dan universiti awam dalam memastikan dana umat disampaikan tepat kepada sasaran, selari matlamat memperkukuh kesejahteraan sosial dan pendidikan negara.-UTUSAN

 

DR. MHD. FAIZAL MHD. RAMLI 

Pensyarah dan Penyelidik Tafsir Al Quran dan Sosiopragmatik,

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN