SAYA ingin menarik perhatian pihak berkuasa terhadap masalah kesesakan lalu lintas menuju Kompleks Sekolah Kamil, Pasir Puteh, Kelantan.
Laluan tersebut menjadi sangat sibuk pada waktu pagi dan petang kerana terdapat sebuah sekolah menengah dan tiga buah sekolah rendah. Setiap hari ratusan kenderaan ibu bapa, guru, van sekolah serta motosikal menggunakan laluan sama untuk menghantar dan mengambil murid.
Malangnya, simpang tersebut agak sempit dan tidak mempunyai kemudahan kawalan trafik seperti lampu isyarat atau bulatan jalan. Keadaan ini menyebabkan aliran kenderaan tidak teratur dan menyebabkan kesesakan teruk, sekali gus menimbulkan risiko kemalangan terutama kepada murid-murid sekolah.
Sehubungan itu, pihak berkuasa disaran mempertimbangkan pembinaan bulatan kecil atau pemasangan lampu isyarat di simpang tersebut. Selain itu, bahu jalan juga wajar diperluaskan bagi memberi ruang kepada kenderaan berhenti sementara tanpa menghalang laluan utama.-UTUSAN
ISAHAK DERAMAN
Pasir Puteh, Kelantan










