LANGKAH kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi bahan api dan melaksanakan pendekatan subsidi bersasar menandakan perubahan penting dalam pengurusan fiskal serta hala tuju pembangunan lestari negara.
Dari perspektif kelestarian, perubahan tingkah laku sedemikian berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong komitmen Malaysia terhadap agenda peralihan hijau.
Kesan alam sekitar yang paling nyata ialah pengurangan pencemaran udara di kawasan bandar yang padat dengan trafik.
Apabila penggunaan petrol dan diesel menurun, pelepasan bahan pencemar daripada kenderaan juga berkurang, sekali gus memberi manfaat kepada kesihatan awam dan kualiti hidup penduduk bandar.
Dalam jangka panjang, pengurangan pencemaran ini juga berpotensi menurunkan beban kos kesihatan awam yang berkait dengan penyakit respiratori dan tekanan persekitaran bandar.
Dalam kerangka sama, pelaksanaan kerja dari rumah memperlihatkan satu lagi ruang dasar yang boleh menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Dasar ini penting kerana bukan sahaja mengurangkan beban perjalanan ulang-alik harian, malah berpotensi menurunkan penggunaan bahan api secara agregat di bandar-bandar utama.
Apabila jutaan perjalanan harian dapat dikurangkan, jejak karbon bandar turut menurun, manakala kesesakan lalu lintas boleh dikurangkan pada tahap yang lebih terkawal.
Kesan sampingannya ialah bandar mempunyai peluang untuk bergerak ke arah model pembangunan yang lebih mampan dan mesra manusia.
Dalam konteks ini, kerajaan tempatan boleh menilai semula keutamaan pembangunan infrastruktur dengan mengimbangi pelaburan antara jalan raya, pengangkutan awam, ruang hijau bandar dan laluan pejalan kaki.
Pendekatan sedemikian penting kerana bandar lestari tidak hanya bergantung pada pertumbuhan ekonomi tetapi juga keseimbangan antara mobiliti, kesejahteraan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.
Namun demikian, keberkesanan dasar subsidi disasar dan bekerja dari rumah sangat bergantung pada pelaksanaan yang inklusif.
Golongan berpendapatan rendah perlu terus dilindungi melalui bantuan bersasar, sebagaimana kerajaan menyalurkan bantuan tunai dan menegaskan penjimatan rasionalisasi subsidi akan dipulangkan semula kepada rakyat.
Dalam masa sama, sistem pengangkutan awam mesti diperkukuh supaya rakyat mempunyai alternatif sebenar untuk mengubah tingkah laku mobiliti mereka.
Tanpa sokongan infrastruktur yang cekap, dasar baik dari sudut fiskal dan alam sekitar mungkin tetap dilihat sebagai beban oleh masyarakat.
Lebih jauh lagi, pengurangan pergantungan terhadap bahan api fosil menghantar isyarat pasaran yang lebih jelas kepada pelabur bahawa Malaysia semakin serius terhadap peralihan tenaga dan pembangunan teknologi hijau.
Ini membuka ruang lebih luas untuk mempercepat pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biojisim, sejajar dengan keperluan transformasi ekonomi rendah karbon.
Jika dilaksanakan secara teliti, bertahap dan disokong infrastruktur yang kukuh, dasar ini mampu menjadi pemangkin kepada masa hadapan Malaysia yang lebih hijau, sihat dan lestari.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZLAN ABAS
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










