KITA sering mengulang generasi muda adalah harapan negara. Namun persoalan yang lebih penting ialah apakah sistem dalaman yang mengawal arah mereka dalam dunia yang semakin kompleks? Cabaran hari ini bukan sekadar kekurangan peluang tetapi kehilangan pusat kawalan identiti.
Dalam era digital, manusia bukan sahaja pengguna maklumat, malah dibentuk oleh algoritma. Dengan penggunaan media sosial yang tinggi, sebahagian besar pemikiran generasi muda berkembang dalam ruang yang tidak dipandu nilai tempatan.
Maka, jati diri tidak lagi boleh dilihat sebagai warisan budaya semata-mata tetapi sebagai sistem pertahanan kognitif dan emosi yang menentukan cara seseorang menilai maklumat dan membuat keputusan.
Hakikatnya, generasi muda bukan tiada identiti tetapi identiti mereka sedang dibentuk oleh sistem luar.
Algoritma mengutamakan kandungan sensasi, sekali gus membentuk generasi yang pantas bertindak tetapi lemah dalam refleksi. Mereka celik teknologi, namun belum tentu kukuh dari segi nilai.
Justeru, jati diri perlu diperkukuh sebagai penapis dalaman. Ia membolehkan individu berinteraksi dengan dunia tanpa kehilangan prinsip.
Dalam hal ini, Rukun Negara seharusnya dihidupkan sebagai panduan praktikal, bukan sekadar hafalan. Nilai seperti kesopanan perlu diterjemahkan dalam konteks digital, termasuk etika berkongsi maklumat dan tanggungjawab terhadap kesan kandungan.
Peranan keluarga dan institusi pendidikan juga penting. Keluarga perlu menjadi ruang dialog, manakala pendidikan perlu membina pemikiran kritikal, bukan sekadar pencapaian akademik.
Dalam masa sama, generasi muda sendiri perlu membina jati diri secara sedar melalui disiplin dan kesedaran diri.
Akhirnya, jati diri bukan sekadar menentukan siapa kita tetapi siapa yang mengawal kita. Dalam dunia yang sarat pengaruh, hanya individu yang kukuh jati dirinya mampu mengawal arah hidup dan menjadi agen perubahan sebenar.-UTUSAN
NUR NABILAH HABIBAH ANUWAR & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Kelab Sekretariat Rukun Negara,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau









