Perkukuh ekonomi domestik melalui barangan tempatan

Perkukuh ekonomi domestik melalui barangan tempatan

PRODUK tempatan hendaklah kompetitif dari segi harga dan kualiti agar tidak membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengguna dan Ekonomi Keluarga Malaysia (MACFEA) menyambut baik seruan Perdana Menteri agar rakyat memperkukuh ekonomi domestik melalui penggunaan barangan tempatan sebagai langkah strategik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing.

Dalam konteks ini, usaha memperkukuh ekonomi domestik dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan daya tahan ekonomi negara terhadap kejutan luaran.

Pendekatan ini juga berpotensi membantu mengurangkan tekanan imported inflation, walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya dalam jangka pendek.

Walau bagaimanapun, sokongan terhadap barangan tempatan perlu bersifat bersyarat dan realistik.

Produk tempatan hendaklah kompetitif dari segi harga dan kualiti agar tidak membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat tekanan inflasi global, keutamaan pengguna kekal tertumpu kepada nilai untuk wang (value for money), bukan semata-mata sentimen.

Dari sudut dasar, usaha ini memerlukan intervensi yang lebih menyeluruh.

Peningkatan harga minyak global akan memberi kesan langsung kepada kos logistik dan rantaian bekalan, justeru kerajaan perlu memperkukuh langkah mengurangkan kos pengeluaran, menyediakan insentif bersasar serta memastikan kecekapan sistem pengedaran bagi mengekang tekanan harga.

Pendidikan pengguna perlu diberi penekanan agar rakyat memahami kepentingan menyokong ekonomi domestik tanpa mengabaikan prinsip perbelanjaan bijak.

Pengguna perlu membuat pertimbangan yang jelas antara keperluan dan kehendak dalam perbelanjaan harian, di samping mengamalkan disiplin kewangan seperti menabung bagi membina simpanan kecemasan sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Secara keseluruhannya, pendekatan memperkukuh ekonomi domestik melalui barangan tempatan adalah langkah yang tepat dalam mendepani ketidaktentuan global.

Namun, pelaksanaannya perlu bersifat menyeluruh, seimbang dan berfokus kepada kesejahteraan pengguna, khususnya dalam suasana tekanan kos yang dipacu oleh faktor geopolitik dan harga tenaga dunia.

MACFEA komited untuk terus menyokong dasar-dasar yang memperkukuh ekonomi keluarga dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan mampan. – UTUSAN

PROFESOR DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI
Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN