Perkasa mata pelajaran agama

Perkasa mata pelajaran agama

PENDIDIKAN agama perlu sentiasa diperkemas agar selari dengan perkembangan pendidikan semasa supaya ilmu yang disampaikan benar-benar difahami dan dihayati. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN Islam di sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, pemikiran dan jati diri pelajar.

Mata pelajaran seperti al-Quran, Fikah, Tauhid, Tafsir, Hadis, Nahu Sorof, Insyak, Adab Nusus, Mantiq dan Balaghah bukan sahaja menyampaikan ilmu agama, malah menjadi asas pembinaan insan yang berakhlak mulia serta berfikir secara rasional.

Justeru, pendekatan pengajaran perlu sentiasa diperkemas agar selari dengan perkembangan pendidikan semasa supaya ilmu yang disampaikan benar-benar difahami dan dihayati.

Seiring perkembangan sistem pendidikan, konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) semakin diberi perhatian. Pendekatan ini menekankan pembelajaran berpusatkan murid, penglibatan aktif serta pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi.

Dalam konteks pendidikan Islam, PAK21 menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif, menarik dan bermakna.

Guru kini berperanan sebagai fasilitator yang membimbing pelajar meneroka ilmu secara aktif. Pelajar digalakkan berbincang, bertanya, berkongsi pandangan dan menyelesaikan masalah secara kolaboratif. Kaedah ini membantu mereka memahami konsep agama dengan lebih mendalam, bukan sekadar menghafal fakta semata-mata.

Dalam pengajaran al-Quran, pendekatan kolaboratif boleh digunakan melalui aktiviti kumpulan untuk memahami maksud ayat, hukum tajwid serta pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Bagi Fikah pula, pembelajaran berasaskan masalah membolehkan pelajar menilai situasi kehidupan sebenar dan mengaplikasikan hukum Islam secara lebih praktikal.

Sementara itu, pengajaran Tauhid sesuai menggunakan pendekatan inkuiri yang merangsang pemikiran rasional tentang kebesaran Allah dan fenomena alam. Tafsir dan Hadis pula boleh diperkukuh melalui pembelajaran berasaskan projek yang mengaitkan ilmu dengan isu semasa.

Mata pelajaran Nahu Sorof dan Insyak juga lebih berkesan melalui aktiviti interaktif seperti pembinaan ayat dan dialog.

Bagi Adab Nusus, pendekatan kreatif seperti analisis teks, pembentangan dan lakonan dapat menghidupkan pembelajaran. Mantiq dan Balaghah pula sesuai dilaksanakan melalui perdebatan ilmiah yang melatih pelajar berhujah secara tersusun dan kritis.

Penggunaan teknologi pendidikan seperti video, aplikasi pembelajaran dan kuiz interaktif turut menyokong pelaksanaan PAK21, menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.

Walau bagaimanapun, kejayaan pendekatan ini bergantung kepada kreativiti guru dalam merancang pengajaran serta keupayaan menyesuaikan aktiviti dengan tahap pelajar.

Dalam masa sama, nilai tradisi pendidikan Islam seperti adab, keikhlasan dan penghormatan terhadap ilmu perlu terus dipelihara.

Kesimpulannya, strategi pengajaran Abad Ke-21 bukan sahaja memperkasa pencapaian akademik tetapi turut membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya fikir tinggi selaras dengan tuntutan pendidikan Islam.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN