DALAM sesebuah organisasi, kecemerlangan sering diraikan sebagai lambang keberkesanan kepimpinan dan kekuatan pasukan. Namun, tidak semua kejayaan diraikan dengan adil dan penuh kesedaran.
Ada kalanya, kejayaan yang lahir daripada usaha kolektif akhirnya dimonopoli oleh segelintir individu di peringkat atasan, seolah-olah merekalah pencetus utama kejayaan tersebut.
Situasi ini jelas tergambar melalui peribahasa ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’.
Dalam konteks organisasi, keadaan ini berlaku apabila pemimpin terlalu menonjolkan diri ketika meraikan kejayaan tanpa mengiktiraf sumbangan sebenar warga kerja di belakang tabir.
Lebih membimbangkan, ada pemimpin yang dengan bangga menguar-uarkan pencapaian seolah-olah semuanya terhasil daripada kebijaksanaan dan usahanya sendiri, sedangkan kejayaan tersebut dibina atas kerjasama dan pengorbanan pasukan.
Lebih menyedihkan apabila pekerja yang bertungkus lumus siang dan malam, malah sanggup mengorbankan masa serta kesejahteraan peribadi, akhirnya dilupakan.
Ketika organisasi berdepan cabaran, merekalah yang menjadi tulang belakang. Namun, apabila kejayaan dikecapi, sumbangan mereka seolah-olah hilang daripada perhatian. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan motivasi, malah menghakis nilai kemanusiaan dalam organisasi.
Hakikatnya, pemimpin yang matang akan mengiktiraf setiap sumbangan dan berkongsi kejayaan bersama pasukan. Kejayaan akan lebih bermakna apabila diraikan secara kolektif kerana di sebaliknya terdapat idea, tenaga dan masa yang dicurahkan oleh ramai pihak.
Dalam hal ini, kesetiaan warga kerja bukan sekadar hadir secara fizikal tetapi lahir daripada rasa dihargai dan diiktiraf. Jika elemen ini diabaikan boleh menyebabkan ikatan tersebut longgar dan menjejaskan kelangsungan organisasi.
Akhirnya, pemimpin perlu sentiasa bermuhasabah agar tidak leka dengan pujian yang diterima.
Pujian yang berlebihan boleh mengaburkan pertimbangan dan menjauhkan pemimpin daripada realiti sebenar. Sebaliknya, pemimpin harus terus berpijak di bumi nyata, menghargai setiap sumbangan dan memastikan kejayaan organisasi dibina atas keadilan, penghargaan serta nilai kemanusiaan yang kukuh.-UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Profesor Pengurusan Organisasi dan Pengurusan Sumber Manusia
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










