KERAJAAN perlu mengambil segala langkah yang perlu supaya kehidupan rakyat Malaysia tidak terjejas teruk akibat perang di Asia Barat ketika ini antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Perang yang sedang berlaku menyebabkan harga minyak dunia berada dalam keadaan tidak menentu sekali gus memberi kesan ke atas harga barangan dan perkhidmatan.
Walaupun begitu, peranan kerajaan harus melindungi kehidupan rakyat secara keseluruhannya.
Pun begitu, dibimbangi wujud peniaga yang akan mengambil peluang untuk mengaut keuntungan secara tidak munasabah sehingga menyusahkan orang ramai. Aktiviti mengambil keuntungan secara tidak munasabah yang juga dikenali sebagai aktiviti pencatutan dibimbangi memberi beban kepada orang ramai yang kini sedang bergelut dengan masalah dan kerisauan ketidaktentuan suasana ekonomi global.
Kerajaan perlu pantau secara ketat aktiviti pencatutan atau aktiviti pengambilan untung secara tidak munasabah yang mungkin berlaku.
Semua pihak perlu memainkan peranan masing–masing bagi membantu rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi semasa.
Kerajaan juga perlu menggiatkan lagi usaha bagi mencari jalan untuk meringankan beban rakyat dengan memperkenalkan lebih banyak lagi langkah–langkah proaktif dan kreatif ke arah usaha bagi meringankan beban yang dihadapi.
Setiap individu juga boleh memainkan peranan dengan mengambil tahu tentang hak dan tanggungjawab sebagai pengguna. Mereka juga perlu peka dengan informasi semasa termasuk melengkapkan diri dengan ilmu kepenggunaan.
Amalan berjimat cermat serta bijak berbelanja harus diamalkan setiap individu dalam menghadapi suasana ekonomi yang mencabar pada masa kini.
Setiap perbelanjaan perlu dirancang dengan teliti serta dengan baik supaya mereka tidak berbelanja di luar lingkungan pendapatan.
Kerjasama semua pihak dalam negara penting bagi memastikan segala masalah yang sedang dihadapi ketika ini dapat diharungi dengan baik.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










