KEBEBASAN bersuara serta hak menyuarakan pendapat tidak wajar dianggap sebagai ancaman.
Masyarakat memang sering diingatkan agar menggunakan hak ini secara berhemah, namun pihak pemerintah juga perlu memastikan ruang tersebut terus dihormati serta dilindungi.
Setiap individu lahir dengan latar belakang, pengalaman serta cara berfikir yang berbeza. Perbezaan ini melahirkan pelbagai pandangan yang wajar diraikan, bukan disekat. Apabila masyarakat saling mendengar, mereka dapat menilai idea dengan lebih terbuka seterusnya mencari jalan terbaik demi kemajuan bersama.
Jika undang-undang digunakan untuk menyekat suara rakyat secara berlebihan, menyebabkan perkembangan negara terjejas.
Walaupun Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan membenarkan sekatan tertentu, namun pelaksanaannya perlu berimbang.
Kerajaan tidak seharusnya menutup ruang bersuara sehingga rakyat berasa terpinggir daripada arus pembangunan.
Hak bersuara perlu diberi perhatian agar setiap individu merasa dihargai. Keberanian mendengar pandangan, termasuk yang berbeza, menjadi asas kepada masyarakat yang matang.
Perbezaan pendapat pula harus ditangani melalui perbincangan yang sihat, bukan dengan penolakan.
Akhirnya, budaya dialog yang terbuka mampu mengukuhkan persefahaman. Melalui pendekatan ini, masyarakat dapat mencari penyelesaian secara bersama serta membina negara yang lebih adil dan seimbang. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










