KECERDASAN buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat moden. Jika dahulu teknologi ini hanya digunakan dalam sektor industri dan penyelidikan, hari ini AI hadir terus ke dalam telefon pintar dan komputer peribadi pengguna.
Masyarakat kini menggunakan AI bukan sahaja untuk urusan kerja dan pembelajaran, malah untuk memudahkan tugasan harian yang kecil tetapi memerlukan masa dan perhatian.
Kehadiran aplikasi seperti ChatGPT, Gemini dan pelbagai lagi menjadikan AI seolah-olah pembantu peribadi digital yang sentiasa bersedia membantu. Pengguna menerima teknologi ini dengan cepat kerana sistemnya mudah digunakan, mesra pengguna dan boleh diakses secara meluas.
Pengguna hanya perlu menaip arahan dalam bahasa harian dan sistem akan terus memberikan jawapan yang tersusun. Akses juga menjadi lebih mudah apabila AI boleh digunakan melalui telefon pintar serta diintegrasikan dalam aplikasi komunikasi harian. Situasi ini menjadikan AI semakin dekat dengan rutin manusia, kadangkala tanpa disedari sepenuhnya.
Dalam kehidupan seharian, masyarakat mula menggunakan AI dalam pelbagai urusan praktikal. Antara contoh yang semakin ketara ialah perancangan percutian, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pengguna boleh meminta AI merancang perancangan lengkap berdasarkan bajet, tempoh perjalanan dan bilangan ahli keluarga. AI akan mencadangkan destinasi, jadual perjalanan, tempat makan serta anggaran kos harian secara terperinci. Pengguna tidak lagi perlu meluangkan masa yang panjang untuk mencari maklumat secara manual kerana AI membantu menyusun pilihan dengan cepat dan teratur.
Selain itu, AI juga membantu pengguna memilih masa perjalanan yang sesuai. Ketika musim cuti atau perayaan, pengguna boleh mendapatkan cadangan awal tentang waktu bertolak bagi mengelakkan kesesakan. Walaupun pengguna masih perlu merujuk maklumat trafik semasa, AI tetap membantu mereka merancang lebih awal dengan lebih sistematik.
Di rumah, AI turut memainkan peranan dalam urusan harian seperti memasak. Pengguna boleh menaip bahan yang ada di dapur, lalu AI mencadangkan menu yang sesuai dan cepat disediakan. Situasi ini membantu ibu bapa yang bekerja untuk menyediakan hidangan tanpa perlu berfikir lama atau merancang dari awal.
Dalam urusan pembelian pula, AI membantu pengguna membandingkan produk berdasarkan bajet dan keperluan. Contohnya, ketika membeli telefon pintar, pengguna boleh mendapatkan perbandingan spesifikasi sebelum membuat keputusan. Hal ini mempercepat proses membuat pilihan, namun keputusan akhir tetap berada di tangan pengguna.
AI juga semakin digunakan dalam komunikasi harian. Ramai individu menggunakan AI untuk menulis e-mel atau mesej rasmi. AI membantu menyusun ayat yang lebih teratur dan sopan, sekali gus menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan menulis.
Dalam bidang pendidikan, pelajar menggunakan AI untuk memahami topik yang sukar. Mereka meminta penjelasan dalam bahasa yang lebih mudah atau contoh yang lebih dekat dengan kehidupan seharian. AI bertindak sebagai sokongan pembelajaran yang fleksibel di luar bilik darjah.
Namun begitu, di sebalik kemudahan ini, pengguna tidak boleh terlalu bergantung kepada AI. Teknologi ini hanya memberi cadangan berdasarkan data sedia ada dan tidak menggantikan pertimbangan manusia sepenuhnya. Maklumat yang diberikan juga mungkin tidak tepat atau sudah berubah. Oleh itu, pengguna perlu sentiasa menyemak semula maklumat daripada sumber rasmi sebelum membuat keputusan.
Akhirnya, AI seharusnya dilihat sebagai alat bantu, bukan pengganti pemikiran manusia. Gunakan teknologi ini dengan bijak tetapi jangan sesekali leka sehingga hilang keupayaan untuk menilai dan membuat keputusan sendiri.-UTUSAN
DR. NUR SYAZWANI AHMAD
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial,
Pusat Asasi Sains,
Universiti Malaya










