INDUSTRI kelapa sawit merupakan antara tonggak utama ekonomi negara yang menyumbang secara signifikan kepada eksport serta peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.
Dalam konteks konflik geopolitik dan ketidaktentuan harga tenaga, sektor ini terdedah kepada beberapa implikasi penting, sama ada dari sudut kos pengeluaran, permintaan global, mahupun kestabilan rantaian bekalan.
Pertama, peningkatan harga minyak mentah lazimnya akan meningkatkan kos operasi dalam sektor perladangan kelapa sawit. Aktiviti ladang seperti pengangkutan buah tandan segar (FFB), operasi jentera ladang, serta logistik penghantaran minyak sawit mentah (CPO) sangat bergantung kepada bahan api diesel.
Apabila harga bahan api meningkat, kos pengeluaran bagi setiap tan metrik hasil sawit turut meningkat. Selain itu, industri ini juga terdedah kepada kenaikan harga input pertanian seperti baja kimia yang banyak bergantung kepada tenaga fosil dalam proses pengeluarannya.
Kedua, ketidaktentuan geopolitik global juga memberi kesan kepada permintaan dan harga minyak sayuran di pasaran dunia. Dalam situasi harga minyak mentah yang tinggi, permintaan terhadap biofuel biasanya meningkat kerana negara-negara pengguna mencari alternatif kepada bahan api fosil.
Dalam konteks ini, minyak sawit sering digunakan sebagai bahan mentah utama dalam pengeluaran biodiesel. Oleh itu, peningkatan harga minyak mentah berpotensi meningkatkan permintaan minyak sawit di pasaran antarabangsa, sekali gus menyokong harga komoditi tersebut.
Ketiga, konflik global juga boleh menjejaskan kestabilan rantaian bekalan makanan dan komoditi. Banyak negara pengimport minyak sawit bergantung kepada bekalan stabil daripada negara pengeluar seperti Malaysia dan Indonesia. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, minyak sawit sering menjadi pilihan utama kerana harganya lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain seperti minyak soya atau minyak bunga matahari. Justeru, industri kelapa sawit Malaysia mempunyai peluang strategik untuk memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan bekalan minyak sayuran global.
Walau bagaimanapun, peluang ini perlu disertai dengan strategi pengurusan yang cekap dan mampan. Peningkatan kos input dan ketidaktentuan pasaran memerlukan pengusaha ladang serta pemain industri untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran melalui penggunaan teknologi moden, amalan pengurusan terbaik serta pendekatan pertanian lestari.
Penggunaan teknologi digital, automasi ladang serta pengurusan nutrien yang lebih efisien dapat membantu mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti.
Aspek kelestarian juga semakin penting dalam memastikan daya saing industri kelapa sawit Malaysia di peringkat global. Negara-negara pengimport semakin menekankan aspek pensijilan, pengurangan jejak karbon serta amalan pengeluaran yang bertanggungjawab. Oleh itu, industri perlu terus memperkukuh pelaksanaan piawaian seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan meningkatkan usaha ke arah pengeluaran yang lebih mesra alam.
Secara keseluruhannya, konflik di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada sektor tenaga global, malah turut mempengaruhi industri komoditi strategik seperti kelapa sawit. Walaupun terdapat cabaran dari segi peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan pasaran, namun situasi ini juga membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.
Dengan pengurusan yang cekap, inovasi teknologi serta komitmen terhadap kelestarian, membolehkan industri kelapa sawit mampu terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.-UTUSAN
DR. MOHD. HADI AKBAR BASRI
Jabatan Sains Tanaman
Fakulti Pertanian
Universiti Putra Malaysia (UPM)










