Ilmu tidak lagi membimbing tingkah laku

Ilmu tidak lagi membimbing tingkah laku

KEMATANGAN emosi perlu diangkat sebagai kompetensi utama, setara dengan kecemerlangan intelektual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA akademik sering digambarkan sebagai ruang paling rasional dalam masyarakat, dihuni oleh insan yang terlatih untuk berfikir kritis, berhujah secara berasaskan data dan membuat keputusan secara objektif.

Namun di sebalik citra intelektual ini, wujud satu realiti yang jarang dibicarakan secara terbuka. Institusi pengajian tinggi (IPT) tidak terlepas daripada konflik emosi, perebutan pengaruh dan komunikasi yang merosakkan.

Secara ideal, universiti berfungsi sebagai ruang wacana sihat yang meraikan perbezaan melalui hujah dan adab. Namun realitinya, budaya komunikasi pasif-agresif semakin menular.

Kajian antarabangsa turut memberi gambaran membimbangkan. Institut Buli di Tempat Kerja melaporkan sektor pendidikan antara yang mencatat kadar buli tempat kerja yang tinggi. Persatuan Universiti Eropah pula mengakui peningkatan tekanan psikososial dalam kalangan akademia akibat persaingan dan tuntutan prestasi. Hal ini membuktikan kecerdasan intelektual tidak semestinya seiring dengan kematangan komunikasi.

Mitos pendidikan tinggi melahirkan manusia lebih matang turut perlu diteliti semula. Ilmu meningkatkan keupayaan berfikir tetapi tidak semestinya membentuk pengurusan emosi. Fenomena ketidakselarasan kognitif menjelaskan jurang antara pengetahuan etika dan tingkah laku sebenar, manakala lesen moral pula menunjukkan bagaimana kejayaan akademik boleh dijadikan justifikasi tidak sedar untuk tingkah laku tidak profesional.

Dalam masa sama, teori kekecewaan agresif menerangkan bagaimana tekanan matlamat seperti kenaikan pangkat, penerbitan atau pengiktirafan boleh mendorong tingkah laku agresif yang terselindung. Kekecewaan ini tidak selalu dizahirkan secara langsung, sebaliknya muncul dalam bentuk komunikasi pasif-agresif dan pembinaan persepsi negatif terhadap orang lain.

Gabungan faktor ini membentuk persekitaran akademik yang sarat ketegangan emosi tersembunyi. Universiti bukan lagi ruang bebas konflik tetapi sebuah ekosistem kompleks yang sarat hierarki, persaingan dan tekanan prestasi.

Laporan Nature Human Behaviour turut mengesahkan peningkatan tekanan kerja dalam kalangan akademia global yang memberi kesan kepada kesejahteraan dan hubungan profesional.

Hakikatnya, kelemahan utama institusi akademik hari ini bukan kerana kekurangan ilmu tetapi pada kegagalan mengurus emosi dan komunikasi.

Kematangan emosi seperti yang dihuraikan oleh Daniel Goleman, khususnya aspek kawalan diri dan empati, seharusnya menjadi teras profesionalisme akademik, bukan sekadar pelengkap.

Dalam era digital, satu tindakan komunikasi yang tidak matang boleh memberi kesan besar terhadap reputasi individu dan institusi. Oleh itu, kematangan emosi perlu diangkat sebagai kompetensi utama, setara dengan kecemerlangan intelektual.

Tanpa keseimbangan antara kecerdasan intelektual dan kestabilan emosi, menara gading akan terus bergelut dengan konflik dalaman, bukan kerana kekurangan ilmu tetapi kerana kegagalan manusia di dalamnya memahami diri mereka sendiri.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & PROFESSOR DR. S. SALAHUDIN SUYURNO
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN