Bentuk generasi ‘kalis’ krisis ekonomi

Bentuk generasi ‘kalis’ krisis ekonomi

SEJARAH memperlihatkan krisis ekonomi sering kali melahirkan generasi yang lebih berdaya tahan dan berhemat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN harga minyak mencetuskan rantaian inflasi yang memperlihatkan peningkatan kos sara hidup, sekali gus menuntut penyesuaian yang lebih bersifat hemat dan seimbang.

Ibu bapa terpaksa melakukan pelarasan perbelanjaan secara teliti, membezakan antara keperluan asas dan kehendak yang bersifat sampingan. Namun demikian, anak-anak wajar didedahkan secara berperingkat kepada realiti ekonomi yang sedang melanda agar terbina kefahaman yang bersifat tuntas tentang nilai wang dan kepentingan berjimat. Ini mampu menyemai kesedaran awal tentang tanggungjawab kewangan.

Budaya berjimat merupakan manifestasi disiplin diri yang berteraskan kesederhanaan dan keinsafan. Anak-anak boleh dibentuk untuk menghayati konsep ini melalui amalan seharian seperti mengelakkan pembaziran, menggunakan sumber secara berhemah dan menghargai setiap nikmat yang tersedia.

Nilai-nilai ini apabila dipupuk secara konsisten akan berakar menjadi sikap yang membentuk keperibadian mereka pada masa hadapan.

Sejarah turut memperlihatkan krisis ekonomi sering kali melahirkan generasi yang lebih berdaya tahan dan berhemat. Pasca Krisis Kewangan Asia 1997, misalnya, ramai dalam kalangan masyarakat yang terpaksa menstruktur semula kehidupan dalam suasana keterbatasan.

Anak-anak yang membesar dalam era tersebut memperlihatkan kecenderungan untuk lebih berhati-hati dalam pengurusan kewangan serta memiliki apresiasi mendalam terhadap kestabilan hidup. Hal ini membuktikan kesukaran, apabila dihadapi dengan bimbingan yang wajar, mampu menjadi wahana pembentukan jati diri yang unggul.

Dalam kerangka yang lebih luas, anak-anak juga berpotensi menjadi ejen perubahan yang menyumbang kepada pengukuhan budaya berjimat dalam keluarga. Dengan didikan yang bersesuaian, mereka boleh mempamerkan sikap proaktif dalam mengamalkan gaya hidup sederhana, sekali gus mempengaruhi persekitaran sekeliling secara tidak langsung.

Peranan ini, walaupun kelihatan kecil, namun mempunyai impak kumulatif yang signifikan dalam membantu keluarga menyesuaikan diri dengan tekanan ekonomi semasa.

Dengan bimbingan yang berterusan dan pendekatan yang bersepadu, mereka mampu berkembang menjadi individu yang bukan sahaja cekal menghadapi cabaran malah bijaksana dalam mengurus sumber demi kesejahteraan bersama.-UTUSAN

DR. WAN NOR MUNIRAH ARIFFIN
Jabatan Matematik Dan Statistik
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN