SAYA menulis sebagai penggiat industri pelancongan yang menghadiri ASEAN Tourism Crisis Communication Forum pada 22 April lalu, anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Secara keseluruhan, program ini tersusun, relevan dan membawa hasrat yang baik. Namun, satu segmen penutup yang sepatutnya bersifat ringan mencetuskan persoalan yang jauh lebih besar daripada perbincangan krisis pada hari tersebut.
Selepas ucapan penutup Ketua Setiausaha, satu persembahan kebudayaan dipersembahkan sebagai representasi ‘akar Malaysia’.
Persembahan dimulakan dengan tarian kebudayaan Cina, diikuti India dan Borneo.
Dalam segmen terakhir itu, tarian buluh yang dipersembahkan menampilkan kumpulan penari berpakaian etnik Borneo, dengan hanya seorang penari berpakaian Melayu diselitkan dalam formasi tersebut. Situasi ini menimbulkan persepsi seolah-olah identiti Melayu hanya elemen sampingan, bukan teras yang berdiri sendiri dalam struktur budaya negara.
Di sinilah timbul persoalan yang lebih besar. Persembahan ini bukan sekadar susunan seni pentas tetapi satu bentuk representasi identiti negara. Jika tujuan asalnya adalah untuk mempamerkan kepelbagaian Malaysia, maka pendekatan tersebut telah menimbulkan kekaburan tentang kedudukan sebenar identiti budaya utama negara.
Orang Melayu membentuk sekitar 60 hingga 65 peratus daripada populasi Malaysia.Bahkan, budaya Melayu bersama kedudukan Islam telah lama menjadi asas kepada sejarah, Perlembagaan dan pembentukan negara ini.
Dalam konteks pelancongan, seni dan budaya bukan sekadar elemen hiasan atau tarikan visual tetapi cerminan jiwa, naratif dan akar sesebuah bangsa.
Maka, persoalan yang wajar diajukan ialah apakah mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh pihak penganjur? Adakah ini sekadar kecuaian dalam pemilihan persembahan, keputusan kuratorial yang tidak sensitif atau petanda kekeliruan yang lebih mendalam dalam menggambarkan identiti negara kepada khalayak antarabangsa?
Terdapat beberapa kemungkinan respons terhadap isu ini. Pertama, mungkin dianggap remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Namun, jika benar demikian, mengapa budaya dijadikan komponen penting dalam strategi promosi pelancongan negara? Setiap persembahan yang dipilih membawa naratif tentang Malaysia dan apa yang tidak ditonjolkan juga memberi makna tersendiri.
Kedua, mungkin dikatakan tidak disengajakan. Namun, niat tidak menafikan kesan. Dalam konteks negara berbilang kaum yang sensitif terhadap simbol identiti, kecuaian sebegini boleh mencerminkan kelemahan dalam kefahaman budaya dan perancangan komunikasi.
Ketiga, ada kemungkinan isu ini dilihat sebagai bersifat perkauman. Hakikatnya, ramai hadirin termasuk saya sendiri menghargai persembahan tarian Cina dan India yang dipersembahkan dengan indah dan bermaruah. Isunya bukan pada kepelbagaian yang ditunjukkan tetapi pada ketiadaan keseimbangan dalam menggambarkan teras identiti negara.
Di dalam dewan, ramai penonton Melayu tidak bertindak balas secara terbuka tetapi jelas terpancar rasa kekeliruan dan kekecewaan.
Lebih membimbangkan, ini mungkin bukan insiden tunggal. Terdapat beberapa keadaan sebelum ini yang, walaupun kecil secara individu, apabila dikumpulkan menimbulkan persepsi sensitiviti terhadap identiti Melayu dan Muslim semakin dipandang ringan.
Akhirnya, isu ini tentang bagaimana sebuah negara memilih untuk menceritakan dirinya kepada dunia. Apabila akar negara dipersembahkan tanpa terasnya, maka yang tinggal hanyalah gambaran indah tetapi tidak lengkap.-UTUSAN
PENGAMAL PERLANCONGAN










