Tidak adil pembangunan tanpa suara rakyat

Tidak adil pembangunan tanpa suara rakyat

TANPA penglibatan komuniti di peringkat akar umbi boleh menimbulkan tanggapan keuntungan industri diutamakan berbanding kualiti hidup rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN setempat sering ditampilkan sebagai pemangkin kemajuan ekonomi, peningkatan infrastruktur dan pemodenan masyarakat.

Namun di sebalik manfaat yang dijanjikan, aktiviti pembangunan dan pembinaan juga berpotensi mencetuskan konflik sosial, kemerosotan kualiti hidup serta ketidakadilan persekitaran sekiranya hak dan suara komuniti setempat tidak diambil kira secara bermakna.

Dalam kerangka pembangunan lestari, penglibatan komuniti bukan sekadar pelengkap kepada prosedur pentadbiran sebaliknya merupakan elemen asas yang menentukan sama ada sesuatu projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau sekadar memenuhi sasaran ekonomi.

Apabila elemen ini diketepikan menyebabkan pembangunan mudah bertukar menjadi punca ketegangan dan penentangan masyarakat.

Di Malaysia, pelbagai contoh menunjukkan bagaimana kekurangan rundingan awal menimbulkan kebimbangan komuniti.

Dalam beberapa keadaan, penduduk hanya dimaklumkan selepas keputusan dibuat tanpa peluang mencadangkan alternatif yang lebih sesuai. Situasi sebegini menimbulkan persepsi bahawa suara rakyat sekadar formaliti.

Bagi komuniti luar bandar, nelayan dan petani, pembangunan tersebut boleh menjejaskan sumber rezeki, jaringan sosial serta warisan budaya yang telah lama terbina. Tanpa konsultasi yang aktif, telus dan inklusif, komuniti mudah merasa dipinggirkan serta kehilangan kepercayaan kepada pihak berkuasa.

Isu penempatan industri penternakan berskala besar dan intensif turut memperlihatkan konflik antara kepentingan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Aduan berkaitan pencemaran sungai, bau, pembiakan lalat serta risiko penyakit zoonotik sering dibangkitkan oleh penduduk berhampiran.

Walaupun industri ini penting bagi keselamatan makanan negara, namun kegagalan melibatkan komuniti secara serius dalam pemilihan lokasi dan kawalan operasi menimbulkan tanggapan keuntungan industri diutamakan berbanding kualiti hidup rakyat.

Kelemahan dalam mengambil kira suara komuniti menunjukkan pembangunan tidak boleh dinilai semata-mata daripada pulangan ekonomi mikro atau makro. Ia perlu diseimbangkan dengan pertimbangan sosial, kesihatan awam, alam sekitar serta sensitiviti budaya dan agama.

Prinsip ini selari dengan aspirasi Dasar Alam Sekitar Negara yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan perlindungan alam sekitar. Tanpa keseimbangan tersebut, pembangunan berisiko mewujudkan ketidakadilan persekitaran apabila beban pencemaran dan risiko ditanggung komuniti setempat, manakala manfaat dinikmati pihak lain.

Di United Kingdom (UK), sistem perancangan tempatan mewajibkan sesi pendengaran awam serta proses bantahan rasmi sebelum projek diluluskan. Pandangan komuniti direkodkan dan dipertimbangkan secara serius, termasuk kemungkinan penolakan projek jika impaknya terlalu besar terhadap kesejahteraan rakyat.

Negara-negara Scandinavia pula mengamalkan konsep perancangan penyertaan. Komuniti dilibatkan sejak peringkat awal dan turut menjadi sebahagian daripada jawatankuasa perancangan tempatan. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan konflik, malah meningkatkan rasa memiliki dalam kalangan penduduk serta menghasilkan pembangunan yang lebih serasi dengan keperluan setempat. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. HARYATI SHAFII
Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar,
Jabatan Pengurusan Pembinaan,
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP),
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN