Singkir AS, Israel dari PBB

Singkir AS, Israel dari PBB

KITA tidak boleh membiarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menggugat keselamatan dan keamanan dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUSULAN serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, semua negara dunia terutamanya negara Islam harus bersatu melancarkan usaha bagi membantu Iran.

Ia boleh dilakukan dengan melancarkan tindakan tegas bagi menunjukkan rasa bantahan keras terhadap AS dan sekutunya, Israel. 

Kita tidak boleh terus biarkan AS dan Israel membuli semua negara. Kita juga tidak boleh membiarkan AS dan Israel menggugat keselamatan dan keamanan dunia. 

AS juga gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai sebuah kuasa besar dunia untuk menyelesaikan segala konflik yang berlaku khususnya di Asia Barat.

Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan ialah menyingkir atau menghalau AS dan Israel terus dari Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB). Penyingkiran dapat memberi isyarat keras kepada AS dan Israel supaya tidak meneruskan segala penindasan dan kekejaman.

Antara matlamat utama penubuhan PBB dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 adalah untuk mengelakkan perulangan peperangan, konflik, serta pertikaian yang hebat antara negara–negara, menegakkan prinsip hak asasi manusia, menjamin rasa hormat terhadap undang–undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia tanpa mengira agama, bangsa dan negara. 

Semua matlamat yang dinyatakan jelas tidak dipatuhi Israel semenjak penubuhan negara mereka lebih 70 puluh tahun lalu. Sekutu Israel, AS juga dilihat telah mematuhi semua ketetapan matlamat piagam ini.

Perkara 6 Piagam PBB 1945 menyatakan dengan jelas bahawa Ahli PBB yang telah berterusan melanggar prinsip terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada pertubuhan melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan. 

Dengan adanya usaha penyingkiran AS dan Israel dari PBB, seluruh negara dunia dapat memberi pengajaran kepada kedua-dua negara itu serta memaksa untuk mengubah perangai buruk selama ini terhadap rakyat Palestin serta terhadap negara Arab lain. 

Sekurang–kurangnya usaha ini dapat memberi isyarat jelas kepada AS dan Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan  mereka. –UTUSAN

 

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN