SETIAP kali berlangsung Majlis Ikrar Antiasuah di institusi kerajaan, pastinya mesej yang disampaikan sentiasa sama iaitu integriti mesti menjadi asas setiap tindakan dalam perkhidmatan awam.
Dalam sektor pertahanan, komitmen ini lebih penting kerana kementerian mengurus kepentingan strategik negara, aset keselamatan serta perbelanjaan awam yang besar.
Namun, dalam perbincangan mengenai integriti institusi, timbul persoalan wajar difikirkan secara jujur, siapakah yang sepatutnya berdiri paling hadapan melafazkan ikrar antirasuah di Kementerian Pertahanan?
Adakah anggota di sempadan, di kapal perang atau pangkalan udara? Pegawai pelaksana yang mengurus pentadbiran harian? Atau mereka yang berada di meja keputusan tertinggi yang menentukan dasar, projek dan keutamaan pembangunan pertahanan negara?
Hakikatnya, keputusan strategik tidak dibuat di peringkat bawah. Ia terletak di tangan kepimpinan tertinggi yang menentukan hala tuju dasar, meluluskan projek besar dan mengurus perbelanjaan negara. Dalam konteks pertahanan, keputusan ini melibatkan nilai yang tinggi serta kepentingan keselamatan negara yang amat sensitif. Semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar tanggungjawab integriti yang dipikul.
Struktur pertahanan negara mempunyai tiga lapisan kuasa utama iaitu kuasa politik yang menentukan dasar nasional dan keutamaan belanjawan pertahanan, kepimpinan pentadbiran kementerian yang mengurus sistem, kewangan dan projek pembangunan berskala besar serta kepimpinan angkatan yang menentukan keperluan operasi dan spesifikasi aset ketenteraan.
Gabungan ketiga-tiga lapisan inilah pusat keputusan sebenar dalam ekosistem pertahanan negara.
Anggota di sempadan mempertahankan kedaulatan dengan disiplin, keberanian dan kesetiaan. Mereka tidak menilai tender atau merundingkan kontrak bernilai ratusan juta ringgit. Amanah besar terletak pada puncak struktur organisasi, di mana setiap keputusan memberi kesan langsung terhadap pembangunan keupayaan pertahanan dan reputasi institusi.
Oleh itu, ikrar antirasuah bukan sekadar majlis simbolik. Ia harus dipimpin dari atas, oleh mereka yang memegang kuasa keputusan terbesar. Kepimpinan yang memimpin melalui teladan mengukuhkan budaya integriti; anggota akan mencontohi apabila melihat ketelusan dan komitmen moral dari pucuk pimpinan.
Integriti sebenar dalam pertahanan negara bermula di meja keputusan tertinggi kerana kekuatan sesebuah angkatan bukan sahaja diukur melalui senjata tetapi juga melalui keteguhan moral sistem yang menguruskannya. –UTUSAN
MEJAR (B) AZMAN AB. KARIM
Kuala Lumpur










