Sanggupkah DAP lepaskan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang?

Sanggupkah DAP lepaskan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang?

DAP melalui kongres khas bakal menentukan hala tuju dan maruah parti yang tercalar teruk akibat malapetaka Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 12 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAP menegaskan akan mengadakan keputusan luar biasa melalui mandat kongres khas  sekiranya kerajaan gagal memenuhi tuntutan parti, termasuk pelaksanaan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dalam tempoh enam bulan yang diberikan kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan beberapa perkara dan syarat melalui reformasi institusi.

Sehubungan itu, tarikh penting 12 Julai 2026 ditetapkan, apabila kongres khas parti DAP bakal menentukan hala tuju dan maruah parti yang tercalar teruk akibat malapetaka Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini. Keutamaan parti kini bagi memulihkan sokongan dan kepercayaan masyarakat Cina terhadap mereka.

Mandat perwakilan parti kini berfokus kepada dua pilihan:

  • Menarik diri daripada semua jawatan dalam kerajaan pusat dan negeri tetapi tetap menyokong Kerajaan Madani.

  • Keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan kembali menjadi pembangkang berdasarkan kekuatan 40 kerusi sedia ada.

Sebagai parti yang berpegang kepada prinsip maruah, sebarang keputusan yang dibuat bukan sekadar retorik atau tindakan simbolik. Keputusan kongres khas perlu diterjemahkan secara serius dan profesional dan implikasinya wajib dilaksanakan tanpa alasan.

Jika mandat perwakilan memilih untuk melepaskan semua jawatan tetapi kekal menyokong Perdana Menteri melalui Kerajaan Madani, status quo sebagai parti komponen kerajaan pusat dan negeri masih terpakai. Perbezaannya, DAP tidak akan mempunyai wakil dalam kerajaan pusat, negeri, kerajaan tempatan, daerah atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam konteks ini, timbul persoalan, adakah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang wajar dipindahkan kepada calon daripada PKR, rakan komponen PH yang memiliki tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Isu ‘tebuk atap’ atau pengkhianatan sesama komponen PH tidak timbul kerana perubahan jawatan berlaku secara sukarela.

Sebaliknya, jika mandat kongres khas memutuskan demi maruah parti, DAP kembali menjadi pembangkang dengan mengundur diri daripada PH, senario politik di Pulau Pinang boleh membawa  pembubaran DUN.

Namun, demi kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), terdapat kemungkinan pembangkang Perikatan Nasional (PN) dengan 11 kerusi bersedia bekerjasama dengan PKR (7 kerusi), UMNO (2 kerusi) dan Amanah (1 kerusi) untuk terus mentadbir kerajaan negeri dengan majoriti 21 kerusi DUN.

Kongres khas ini adalah medan penting untuk menentukan hala tuju parti dan kepentingan rakyat. Semoga para perwakilan DAP bersidang dengan penuh integriti, profesionalisme dan kesedaran terhadap tanggungjawab besar yang menanti. –UTUSAN

RAHMAD ISAHAK

Aktivis politik dan bekas ahli DAP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN