TIDAK hairan jika sebahagian generasi muda mula melihat Syawal dari sudut yang berbeza. Ada yang pulang ke kampung hanya untuk tempoh yang sangat singkat. Ada yang datang sekejap sahaja sebelum kembali bekerja.
Ada juga yang mula memilih untuk bercuti selepas hari raya, sama ada ke pulau, ke luar negara atau sekadar berehat di tempat lain bersama rakan. Ini bukan tanda mereka menolak Aidilfitri. Ia sebenarnya reaksi terhadap betapa penatnya cara Syawal diraikan.
Jika keadaan ini berterusan, golongan muda mungkin perlahan-lahan menjauh daripada budaya Syawal. Bukan kerana mereka tidak menghargai tradisi, tetapi kerana pengalaman raya yang berat dan memenatkan diri.
Apabila sesuatu perayaan menuntut terlalu banyak masa, tenaga dan kewangan, manusia secara semula jadi akan mencari alternatif yang lebih ringan.
Hakikatnya, Aidilfitri tidak pernah menuntut semua ini. Dalam tradisi Islam, Syawal adalah perayaan kesyukuran yang sederhana. Ia tentang memaafkan, memperbaiki hubungan dan berkongsi kegembiraan bersama keluarga serta komuniti terdekat.
Maka, mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula cara kita meraikan Syawal. Tidak semua jemputan perlu dihadiri dalam minggu pertama. Ziarah boleh dirancang sepanjang bulan Syawal dengan lebih santai.
Hidangan juga tidak perlu terlalu banyak sehingga membebankan tuan rumah. Lebih baik lagi, hidangan ini juga boleh ditempah daripada pihak luar terlebih dahulu. Kadangkala satu kunjungan yang tenang dan penuh perbualan bermakna jauh lebih bernilai daripada banyak kunjungan yang tergesa-gesa.
Jika kita mahu memastikan Syawal terus hidup dalam jiwa generasi akan datang, kita perlu berani mempermudahkannya. Kurangkanlah yang memenatkan dan kekalkanlah yang benar-benar bermakna.
Kerana jika Syawal menjadi terlalu melelahkan, generasi muda tidak akan membencinya. Mereka hanya akan perlahan-lahan memilih untuk berada di tempat lain saat ia tiba. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi
MARA Cawangan Perak











