PENDEDAHAN Laporan Ketua Audit Negara mengenai RM183 juta baki geran penyelidikan yang tidak dipulangkan telah menarik perhatian masyarakat dan komuniti akademik. Angka tersebut bukan kecil dan sememangnya menuntut penelitian serius.
Namun, isu ini tidak wajar dilihat secara simplistik sebagai kegagalan individu atau kecuaian semata-mata. Ia perlu difahami dalam konteks struktur tadbir urus penyelidikan negara yang lebih luas.
Sebagai wakil kepimpinan dalam Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), saya berpandangan bahawa keadaan ini harus menjadi pemangkin kepada penambahbaikan sistem, bukan sekadar reaksi terhadap dapatan audit.
Akauntabiliti kewangan adalah asas dalam pengurusan dana awam. Integriti, ketelusan dan pematuhan prosedur perlu dipertahankan. Namun dalam masa yang sama, sistem pengurusan geran perlu cukup responsif untuk menyokong pelaksanaan penyelidikan yang efektif.
Untuk memperoleh geran, penyelidik melalui proses kompetitif yang ketat, penyediaan usul terperinci, penilaian rakan sebaya, pembentangan kepada panel pakar dan penetapan indikator prestasi. Geran yang diluluskan adalah hasil daya saing akademik.
Selepas kelulusan, penyelidik sepatutnya dapat melaksanakan projek mengikut jadual yang dipersetujui. Namun di lapangan, pelbagai kekangan pentadbiran sering dilaporkan termasuk proses kelulusan pembelian yang memakan masa, dokumentasi tambahan di luar keperluan asal geran, kekangan pindahan peruntukan walaupun objektif projek tidak berubah, kelewatan pelantikan pembantu penyelidik dan ketidakseragaman prosedur antara universiti.
Apabila pelaksanaan tertangguh, tempoh efektif projek menjadi semakin singkat. Dalam keadaan tertentu, lebihan dana bukan berpunca daripada kegagalan penyelidik, tetapi akibat masa yang tidak mencukupi untuk melaksanakan perancangan asal secara optimum.
Malaysia sedang memperkukuh agenda ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi selari dengan aspirasi Malaysia Madani. Universiti bukan sekadar institusi pengajaran, tetapi pemangkin penyelesaian kepada cabaran sosial, pembangunan teknologi dan pengukuhan daya saing industri.
Setiap geran penyelidikan adalah pelaburan strategik negara. Jika sistem terlalu rigid sehingga menyukarkan pelaksanaan projek, implikasinya melangkaui isu audit, motivasi penyelidik menurun, kerjasama antarabangsa terjejas dan produktiviti penyelidikan merosot.
Reformasi yang diperlukan bukan untuk melonggarkan disiplin kewangan, tetapi untuk memperhalusi pendekatan agar lebih berasaskan risiko dan lebih responsif terhadap realiti penyelidikan.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk pendekatan berasaskan risiko, fleksibiliti pindahan peruntukan dalam had munasabah, penyelarasan garis panduan nasional, ketelusan dalam caj pengurusan serta pembangunan sistem pemantauan digital masa nyata.
Langkah-langkah ini tidak menjejaskan akauntabiliti, sebaliknya memperkukuh keberkesanan dan pencegahan awal.
Isu RM183 juta ini harus dilihat sebagai peluang memperkukuh sistem. Reformasi tadbir urus penyelidikan memerlukan dialog terbuka antara kementerian, pengurusan universiti dan komuniti akademik.
Geran penyelidikan bukan sekadar angka dalam laporan kewangan. Ia adalah pelaburan masa depan negara. Reformasi tidak boleh ditangguh lagi. – UTUSAN
PROFESOR DR. FAUZILAH SALLEH
Naib Presiden II, Persatuan
Akademik Malaysia (MAAC)










