PERINGATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat tidak membesarkan isu kecil dan sensitif hingga boleh merosakkan negara serta menjejaskan kepentingan rakyat harus diberi perhatian oleh setiap rakyat di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, sikap mengheret isu kecil, sensitif atau perkauman boleh menjejaskan tumpuan kepada fokus utama iaitu pembangunan negara.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum yang saling menghormati budaya dan agama, sekali gus menjadi asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
Yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah menghormati nilai manusia. Budaya dan ketinggian nilai kemanusiaan perlu dipupuk supaya fokus lebih diberi kepada nilai serta kekuatan ekonomi.
Perdana Menteri berharap isu-isu kecil tersebut dihentikan kerana jika ekonomi negara tidak kukuh, pelaburan tidak meningkat, sekali gus menyebabkan tiada harapan untuk anak-anak dari segi pekerjaan dan mutu pendidikan.
Sememangnya teguran dan peringatan itu perlu dihayati sepenuhnya oleh setiap rakyat yang faham erti perpaduan.
Jika perpaduan antara rakyat terusik, maka pelbagai perkara buruk boleh berlaku dan ia menjejaskan pembangunan negara.
Perdana Menteri gembira melihat sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan perayaan-perayaan lain disambut dengan semangat harmoni oleh rakyat berbilang kaum.
Sememangnya suasana sedemikianlah yang perlu dipupuk dan disuburkan sepanjang masa agar keamanan dan kemakmuran negara terus dipertahankan untuk generasi akan datang. –UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










