LANDSKAP pendidikan tinggi Malaysia kini memasuki fasa baharu apabila Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkenalkan model ijazah doktor falsafah (PhD) iaitu PhD by Product, satu pendekatan yang membuka ruang kepada calon untuk dinilai berdasarkan produk atau inovasi yang dihasilkan.
Perubahan ini tidak bermaksud tesis diketepikan sepenuhnya, sebaliknya memperluas definisi sumbangan kedoktoran. Jika sebelum ini penilaian hampir sepenuhnya tertumpu kepada penulisan akademik, kini sumbangan ilmu boleh dizahirkan dalam bentuk teknologi, sistem, paten, standard industri atau karya kreatif profesional, asalkan ia disokong dokumentasi penyelidikan yang kukuh dan melalui proses penilaian yang setara ketatnya dengan laluan tradisional.
Produk yang dihasilkan tetap perlu dihuraikan secara terperinci daripada masalah yang ingin diselesaikan, jurang ilmu yang dikenal pasti, metodologi pembangunan, hinggalah kepada bukti keberkesanan dan keaslian sumbangannya. Calon juga masih perlu mempertahankan hasil kerja dalam sesi viva voce di hadapan panel pakar.
Hakikatnya di China, beberapa universiti terkemuka telah lama memberi pengiktirafan kepada sumbangan praktikal dalam bidang strategik seperti kejuruteraan maju dan teknologi industri.
Institut Teknologi Harbin misalnya pernah menganugerahkan PhD kepada calon yang membangunkan peralatan kimpalan laser vakum berteknologi tinggi sebagai penyelesaian industri sebenar.
Universiti Tsinghua mengambil pendekatan lebih berani dengan menghapuskan keperluan wajib penerbitan jurnal bagi graduan PhD, sebagai usaha mengurangkan budaya publish or perish yang dikatakan mendorong lambakan artikel berkualiti rendah.
Penilaian lebih tertumpu kepada impak dan sumbangan sebenar terhadap bidang strategik negara.
Dalam konteks bidang kecerdasan buatan (AI), model PhD by Product boleh diterjemahkan melalui pembangunan sistem yang benar-benar berfungsi dalam dunia sebenar.
Bayangkan seorang calon membangunkan sistem AI yang mampu mengesan tanda awal strok melalui analisis imej perubatan dengan ketepatan lebih tinggi berbanding kaedah konvensional dan sistem tersebut digunakan di hospital dengan data ujian klinikal yang sah.
Atau seorang penyelidik membina model ramalan banjir masa nyata yang digunakan oleh agensi kerajaan untuk mengurangkan kerugian akibat bencana. Namun begitu, pelaksanaan model ini memerlukan garis panduan yang jelas dan telus.
Penentuan tahap keaslian sumbangan, pemisahan antara inovasi sebenar dan pembangunan rutin, serta pengurusan isu hak cipta dan pemilikan harta intelek perlu ditangani secara berhati-hati.
Tanpa kawalan rapi, terdapat risiko penilaian menjadi tidak seragam atau terlalu bergantung kepada reputasi institusi dan bukannya merit sebenar penyelidikan.
PhD by Product bukanlah usaha mempermudah laluan kedoktoran, sebaliknya memperluas definisi kecemerlangan akademik agar lebih selari dengan keperluan industri dan masyarakat.
Dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi, universiti bukan sekadar pusat penghasilan teori, tetapi juga medan penciptaan penyelesaian nyata.
Jika dilaksanakan dengan piawaian yang jelas oleh MQA, model ini berpotensi melahirkan doktor falsafah yang bukan sahaja cemerlang berhujah di atas kertas, tetapi juga mampu menghasilkan teknologi dan sistem yang benar-benar memberi impak kepada pembangunan negara. – UTUSAN
DR. MUHAMAD HARIZ MUHAMAD ADNAN
Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)








