PENDEDAHAN sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang menyatakan bufet berbuka puasa begitu rancak dipromosikan oleh pihak hotel sehingga ada yang melangkau harga RM300 seorang menimbulkan persoalan apakah tujuan berpuasa, berpesta makan atau beribadah.
Walaupun harganya yang melambung, beberapa tempahan harian oleh beberapa hotel memaklumkan bahawa tempahan harian untuk berbuka di coffee house dan restoran mereka yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan hampir penuh. Adakah ini satu keperluan atau kehendak?
Islam mengajar umatnya untuk mengelakkan daripada bersikap rakus, membazir dan boros. Ramadan sepatutnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam untuk bersikap sederhana, berjimat cermat dan tidak melampaui batas tetapi sebaliknya apa yang berlaku apabila tiba bulan yang penuh keberkatan ini, ramai yang berbelanja besar untuk juadah berbuka puasa dan menyambut raya yang menuntut perbelanjaan berganda daripada bulan-bulan yang lain.
Berbelanja secara berlebihan merupakan sikap yang tidak baik dan membazir. Tujuan utama kita berpuasa adalah untuk merasakan lapar sebagimana dialami oleh golongan miskin dan terpinggir agar kita mempunyai sikap empati kepada mereka.
Ramai daripada saudara seagama kita yang berada di negara yang bergolak berdepan dengan kebuluran. Mereka yang berada seharusnya berkongsi rezeki dengan mereka yang tidak bernasib baik, miskin dan memerlukan. Kita tidak sepatutnya mengamalkan gaya hidup yang bermewah-mewah apatah lagi membazir.
Kekayaan yang ada sepatutnya digunakan bagi membantu golongan miskin dan terpinggir agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan serta menyokong program amal jariah.
Setiap tahun kita menjalani ibadah berpuasa pada Ramadan malangnya Ramadan yang kita lalui pada tahun-tahun sebelum ini seolah-olah tidak memberikan pengajaran serta kesan terhadap kehidupan seharian.
Jadikanlah Ramadan ini adalah bulan untuk meningkatkan lagi keimanan dengan menunaikan ibadah yang wajib dan sunat memandangkan amatlah rugi sekali sekiranya keberkatan di bulan Ramadan ini tidak direbut untuk menggandakan amal kebaikan. –UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










