DALAM keterujaan mahu segera tiba ke kampung halaman, ramai memastikan enjin diservis, minyak hitam ditukar dan brek diperiksa. Namun, dalam senarai panjang persediaan itu, satu komponen paling asas sering terlepas pandang iaitu tayar.
Ramai hanya menyedari kepentingan tayar apabila berlaku insiden seperti tayar pecah atau kenderaan terbabas. Pada kelajuan lebuh raya, kegagalan tayar boleh berlaku dalam sekelip mata.
Isu paling lazim ialah tekanan angin yang tidak mengikut spesifikasi pengeluar. Tekanan terlalu rendah menyebabkan tayar cepat panas dan melemahkan struktur dalaman. Tekanan terlalu tinggi pula mengurangkan kawasan sentuhan dengan jalan, sekali gus menjejaskan kestabilan terutama apabila kenderaan sarat dengan penumpang dan barangan.
Kedua-duanya meningkatkan risiko, lebih-lebih lagi ketika perjalanan jauh dalam tempoh yang panjang.
Kedalaman bunga tayar juga sering diabaikan. Ramai hanya menukar tayar apabila botak sepenuhnya, sedangkan bunga yang semakin cetek sudah cukup untuk menjejaskan keupayaan membrek di jalan basah.
Selain itu, usia tayar jarang diberi perhatian. Walaupun bunga masih kelihatan baik, namun getah yang lama terdedah kepada haba dan cahaya matahari boleh menjadi keras, retak atau rapuh.
Pemeriksaan tayar sebelum perjalanan jauh sebenarnya tidak memerlukan masa yang lama. Memastikan tekanan angin mencukupi, memeriksa rekahan atau benjolan pada dinding tayar serta memastikan tayar simpanan berada dalam keadaan baik ialah langkah mudah tetapi signifikan.
Keselamatan tidak hanya bergantung kepada kemahiran pemandu tetapi juga kepada integriti mekanikal kenderaan.
Perjalanan pulang berhari raya bukan sekadar tentang sampai ke destinasi. Ia tentang memastikan seluruh keluarga tiba dengan selamat. Tayar mungkin kelihatan seperti komponen biasa, namun di situlah terletaknya benteng pertama keselamatan.
Dalam kesibukan membuat persiapan Aidilfitri, luangkan beberapa minit untuk memeriksa tayar kenderaan. Langkah kecil ini mungkin kelihatan remeh tetapi kesannya boleh menentukan segalanya. –UTUSAN
NOOR FAEZAH MOHD SANI & FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran,
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










