penggunaIngat hak anda sebagai pengguna di musim perayaan

Ingat hak anda sebagai pengguna di musim perayaan

MEMAHAMI undang-undang bukan sahaja melindungi pengguna daripada penipuan tetapi juga membantu mewujudkan pasaran yang lebih adil dan berdaya saing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM perayaan bukan sahaja masa untuk meraikan kegembiraan tetapi juga tempoh bagi peniaga dan pengguna perlu lebih berhati-hati. 

Peniaga wajib mematuhi undang-undang serta mempamerkan harga dengan jelas, manakala pengguna pula harus mengetahui hak mereka supaya tidak terjerumus dalam penipuan atau amalan tidak adil.

Di Malaysia, terdapat beberapa akta penting yang melindungi pengguna:

 – Akta Perlindungan Pengguna 1999
Akta ini menetapkan barang yang dijual mesti selamat digunakan, berkualiti dan dalam keadaan baik. 

Barang juga mesti sesuai dengan tujuan penggunaannya dan menepati iklan serta label. Jika barang rosak atau tidak memuaskan, pengguna berhak menuntut pemulangan wang, pembaikan atau penggantian. Aduan boleh dibuat kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) jika berlaku penipuan.

– Akta Perihal Dagangan 2011
Akta ini melindungi pengguna daripada iklan palsu atau mengelirukan, mencegah barangan tiruan dan memastikan label produk adalah tepat dan benar.

-Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011

Semasa musim perayaan, akta ini memainkan peranan penting dalam menghalang kenaikan harga yang tidak munasabah, memastikan harga barang keperluan adalah adil dan melindungi pengguna daripada pencatutan.

– Akta Timbang dan Sukat 1972
Akta ini memastikan timbangan dan sukatan adalah tepat, sekali gus mengelakkan penipuan dari segi kuantiti semasa pembelian.

– Akta Jualan Barang 1957
Barang yang dijual mesti menepati perihal dan berkualiti memuaskan. Pengguna mempunyai hak untuk menuntut jika barang yang dibeli rosak atau cacat.

Oleh itu, jadilah pengguna bijak dengan: 

  • Simpan resit pembelian sebagai bukti transaksi
  • Periksa label produk dengan teliti
  • Bandingkan harga sebelum membeli
  • Ketahui hak anda dan jangan segan membuat aduan
  • Laporkan sebarang amalan tidak adil kepada pihak berkuasa

Memahami undang-undang bukan sahaja melindungi pengguna daripada penipuan tetapi juga membantu mewujudkan pasaran yang lebih adil dan berdaya saing. 

Dengan bersikap bijak dan berhati-hati, setiap rakyat Malaysia boleh menikmati musim perayaan dengan selamat dan yakin bahawa hak mereka sebagai pengguna sentiasa terpelihara. –UTUSAN

BULBIR SINGH

Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN