Majikan perlu fleksibel, benarkan bekerja dari rumah

Majikan perlu fleksibel, benarkan bekerja dari rumah

PERUBAHAN perlu dilakukan supaya kita dapat memanfaat segala kemudahan teknologi yang ada untuk melaksanakan kerja secara fleksibel ataupun bekerja dari rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAMAN sudah pun berubah. Pada zaman moden kini, pelbagai jenis kemudahan serta aplikasi moden sudah wujud bagi memudahkan urusan semua pihak. Dengan wujudnya komputer, telefon pintar serta internet, semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat serta berkesan.

Namun segala kemudahan dan aplikasi moden yang telah disediakan ini tidak digunakan sepenuhnya oleh para majikan dan pekerja ditempat kerja selepas keadaan semasa sudah kembali reda dari ancaman penularan virus Covid-19.

Para majikan dan pekerja dilihat lebih selesa untuk mengadakan aktiviti kerja mereka seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi dengan cara lama iaitu dengan bersemuka secara fizikal di tempat kerja ataupun pejabat.

Penggunaan cara lama ini membawa kepada banyak masalah sampingan seperti pembaziran masa, tenaga serta wang, dan lain-lain lagi. Adalah penting perubahan dilakukan supaya kita dapat memanfaat segala kemudahan teknologi yang ada untuk melaksanakan kerja secara fleksibel ataupun bekerja dari rumah.

Pihak kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) boleh mengeluarkan satu bentuk perintah ataupun arahan jelas bagi mengarahkan segala jenis aktiviti berkaitan dengan tempat kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain dilakukan secara dalam talian.

Tanpa adanya perintah atau arahan jelas ini, sukar untuk kita merealisasikan usaha untuk menggalakkan pihak majikan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja secara fleksibel atau bekerja dari rumah.

Majikan di sektor swasta pula perlu menghormati dan melaksanakan pindaan yang telah dilakukan terhadap Akta Kerja 1955 [Akta 265] baru-baru ini yang membenarkan pekerja mereka untuk bekerja secara fleksibel melalui perubahan waktu bekerja, perubahan hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

Walaupun pindaan terhadap Akta Kerja 1955 [Akta 265] ini telah memaksa pihak majikan untuk terus membenarkan pekerja mereka untuk bekerja secara fleksibel, namun pihak majikan harus menggunakan pertimbangan mereka dengan wajar dalam memberi kebenaran berkenaan. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN