Mahasiswa tidak boleh terlalu bergantung pada AI

Mahasiswa tidak boleh terlalu bergantung pada AI

ANTARA persoalan utama yang sering dibangkitkan ialah sama ada penggunaan teknologi AI menggalakkan plagiarisme atau peniruan dan sekali gus mengurangkan usaha intelektual pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAJAR kini mampu menghasilkan ringkasan nota, merangka esei, mendapatkan idea projek atau menyiapkan tugasan akademik hanya dalam beberapa saat melalui pelbagai aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang semakin mudah diakses.

Ini telah menimbulkan persoalan tentang peranan dan keperluan pensyarah apabila teknologi mampu memberi solusi dengan pantas.

Namun, kemudahan ini boleh membawa risiko sekiranya pelajar menggunakan teknologi tanpa memahami konteks, kesahihan maklumat atau batasan etika. Di sinilah peranan pensyarah menjadi semakin penting sebagai penimbang tara antara teknologi dan nilai akademik.

Sebagai contoh, pensyarah boleh menggunakan AI sebagai alat sokongan untuk menjana idea awal, menyediakan contoh variasi jawapan, atau membantu pelajar memahami konsep kompleks melalui penjelasan alternatif.

Namun, sudah pasti penggunaan ini perlu disertai dengan kesedaran bahawa AI tidak sentiasa tepat dan boleh menghasilkan maklumat tidak sahih.

Tugasan berbentuk refleksi kendiri, penulisan kritis, perbincangan analitik atau analisis terhadap kandungan yang dijana AI bukan sahaja membantu mengesan tahap penguasaan sebenar pelajar, malah mampu membentuk budaya pembelajaran yang lebih jujur dan bertanggungjawab.

Ini jelas menunjukkan bahawa dalam era teknologi canggih sekalipun, nilai pendidikan tidak terletak pada kepantasan menghasilkan jawapan, tetapi pada pengalaman dan kedalaman pemikiran yang dibina sepanjang proses pembelajaran.

Integriti Akademik
Antara persoalan utama yang sering dibangkitkan ialah sama ada penggunaan teknologi AI menggalakkan plagiarisme atau peniruan dan sekali gus mengurangkan usaha intelektual pelajar.

Kebimbangan ini tidak boleh dinafikan, kerana teknologi yang mampu membantu pelajar menyiapkan tugasan secara pantas dan automatik ini turut berpotensi disalahguna.

Pelajar perlu difahamkan bahawa teknologi ialah alat sokongan, bukan pengganti kepada proses pembelajaran sebenar. Mereka perlu diajar bagaimana memetik sumber, menilai kesahihan maklumat dan menggunakan AI secara telus dalam tugasan akademik.

Perbincangan tentang etika penggunaan AI perlu dijadikan sebahagian daripada kurikulum, bukan sekadar peringatan umum.

Dengan cara ini, pelajar akan lebih memahami bahawa integriti akademik bukan hanya berkaitan dengan peraturan, tetapi nilai profesional yang akan membentuk masa depan mereka.

Justeru, institusi pendidikan tinggi perlu memainkan peranan dalam menyediakan latihan dan sokongan kepada para pensyarah.

Pembangunan profesional berterusan dalam bidang teknologi pendidikan, literasi AI dan pedagogi digital perlu dijadikan keutamaan agar pensyarah dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

Pensyarah perlu memastikan bahawa penggunaan AI tidak membatasi atau mengurangkan interaksi manusia dalam proses pembelajaran. Perbincangan bersemuka, debat intelektual dan aktiviti kolaboratif masih memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran sosial dan intelektual pelajar.

Teknologi seharusnya memperkukuh pengalaman pembelajaran, bukan menggantikan sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, pensyarah perlu membantu pelajar memahami bahawa kecanggihan teknologi tidak menjamin kualiti hasil kerja. Nilai sebenar pendidikan terletak pada keupayaan individu untuk berfikir secara mendalam, membuat pertimbangan etika dan menghasilkan idea yang asli.

Masa depan pendidikan bukan ditentukan oleh sejauh mana teknologi berkembang, tetapi bagaimana manusia menggunakannya dengan bijaksana.

Pensyarah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan AI menjadi alat bantuan supaya pembelajaran lebih efektif, bukan jalan pintas yang menghakis nilai integriti akademik. – UTUSAN

DR. SITI NASARAH ISMAIL
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN