Kempen keselamatan jalan raya perlu nafas baharu

Kempen keselamatan jalan raya perlu nafas baharu

MALAYSIA mesti menjadikan komunikasi risiko strategi utama untuk mencapai visi sifar kematian jalan raya, bukan sekadar pelengkap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA masih bergelut dengan angka kematian melebihi 6,000 nyawa setiap tahun. Pendekatan tradisional bergantung kepada kempen umum, poster amaran dan operasi penguatkuasaan bermusim semakin jelas tidak mencukupi. 

Apa diperlukan kini ialah satu strategi lebih halus tetapi berkuasa, iaitu komunikasi risiko lebih sistematik, tepat dan berkesan. Bagi membangunkan sistem komunikasi risiko lebih mantap, empat komponen asas perlu menjadi keutamaan. 

Pertama, ketepatan data. Malaysia memiliki pelbagai pangkalan data, namun integrasinya masih boleh diperkasakan. Mesej risiko hanya berkesan apabila ia benar-benar mencerminkan realiti sebenar. Misalnya statistik kelajuan zon sekolah, titik panas kemalangan motosikal atau trend pemanduan berbahaya mengikut masa. 

Kedua, kejelasan mesej. Bahasa perlu ringkas, mudah dan terus kepada pemakluman risiko. Pernyataan ‘kurangkan kelajuan’ terlalu umum, manakala ‘kelajuan purata kawasan ini 78 km/j dan menyumbang 34 kemalangan dalam 6 bulan’ jauh lebih meyakinkan.

Seterusnya, medium tepat pada masa. Pemandu bertindak balas lebih baik apabila mesej komunikasi risiko disampaikan dalam perjalanan mereka sendiri. Ini khususnya melalui aplikasi navigasi, papan tanda pintar, amaran cuaca atau media sosial geolokasi. 

Komponen terakhir, elemen konsistensi. Risiko jalan raya tidak bermusim, maka mesej keselamatan juga tidak wajar bermusim. Konsistensi membantu mengekalkan persepsi bahaya sentiasa wujud dalam kalangan pengguna.

Dalam konteks Malaysia, pelbagai pihak berkepentingan sebenarnya sudah memainkan peranan, tetapi tidak bergerak dalam satu ekosistem komunikasi kukuh. Kerajaan dan agensi keselamatan jalan raya perlu memimpin dari segi data, analisis dan keseragaman piawaian mesej nasional. 

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkan mesej melalui tindakan di lapangan, selari dengan risiko semasa. 

Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula paling dekat dengan masyarakat. PBT sepatutnya menjadi pusat komunikasi risiko mikro, daripada papan tanda kecemasan hingga ke kempen komuniti sekolah. 

Sementara media arus perdana, pempengaruh dan platform digital boleh mengubah mesej statik menjadi naratif membentuk persepsi awam. Bahkan industri logistik dan syarikat korporat mempunyai tanggungjawab besar dalam melatih pemandu mereka dengan maklumat risiko khusus pekerjaan.

Namun, kita masih bergantung pada kempen umum seperti ‘Pandu Cermat Jiwa Selamat’ tanpa penjelasan risiko lebih bermakna. Tidak banyak amaran masa nyata disalurkan kepada pengguna, meskipun data cuaca, lokasi kemalangan dan kelajuan tersedia. 

Kerjasama rentas agensi juga masih dalam proses pemerkasaan. Ini menyebabkan mesej keselamatan tidak seragam dan ada masanya bertindih. Penggunaan saluran digital pula masih belum mencapai tahap integrasi tinggi, sedangkan majoriti rakyat mendapat maklumat melalui telefon pintar.

Jika Malaysia benar-benar mahu bergerak ke arah visi sifar kematian jalan raya, kita perlu meletakkan komunikasi risiko sebagai strategi pusat, bukan pelengkap. 

Dengan kombinasi data kukuh, mesej tepat dan penyelarasan semua pihak, barulah dapat mengubah cara rakyat melihat risiko. Ini seterusnya mengubah tingkah laku pengguna di jalan raya. 

Keselamatan bukan hanya soal undang-undang atau kejuruteraan. Ia bermula dengan pemahaman dan pemahaman itu lahir daripada komunikasi yang benar, jelas dan konsisten. -UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR

Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan,

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN