INFAK bukan sekadar wang yang disumbangkan sebaliknya diterjemahkan sebagai nadi kekuatan umat, lambang syukur dan manifestasi kepercayaan antara pemberi dan penerima.
Dalam tradisi Islam, infak berdiri sebaris dengan zakat dan sedekah, berperanan sebagai jambatan kasih sayang yang menghubungkan golongan berada dengan mereka yang memerlukan.
Namun, realiti masyarakat hari ini memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara si jujur yang amanah menguruskan infak dan si kaki sapu yang menjadikan kebajikan sebagai medan keuntungan peribadi.
Akibatnya, kepercayaan penderma terhakis dan golongan miskin yang sepatutnya dibela menjadi mangsa utama.
Si jujur memandang infak sebagai tanggungjawab berat. Setiap sen yang disumbangkan dianggap sebagai amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah. Mereka memastikan agihan dibuat secara teratur, telus dan tepat sasaran.
Rekod penerima disemak dengan rapi, laporan kewangan disediakan dengan jelas dan proses pengagihan dipantau supaya tidak berlaku ketirisan.
Bagi mereka, infak bukan medan mencari pengaruh tetapi ladang pahala yang diusahakan dengan penuh integriti.
Ketika bencana melanda, keluarga daif memerlukan bantuan makanan atau pelajar miskin memerlukan yuran persekolahan, si jujur bergerak segera, meletakkan kebajikan orang lain di hadapan kepentingan diri.
Sebaliknya, si kaki sapu melihat infak sebagai peluang. Mereka mungkin petah berbicara tentang penderitaan orang susah, pandai menyentuh emosi masyarakat tetapi memanipulasi dana yang dikumpulkan.
Ada yang memotong peratusan tertentu untuk ‘kos pengurusan’ yang tidak munasabah, menggunakan wang sumbangan untuk gaya hidup mewah dan mencipta kisah simpati palsu demi meraih kutipan.
Perbuatan ini bukan sahaja berdosa, malah menghakis kepercayaan masyarakat.
Di Malaysia, institusi seperti Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu memainkan peranan besar dalam mengurus dana zakat dan sumbangan masyarakat.
Majoriti pegawai berkhidmat dengan penuh dedikasi tetapi beberapa kes penyelewengan, walaupun terpencil, cukup menimbulkan syak wasangka.
Kepercayaan merupakan aset paling mahal dalam pengurusan infak. Tanpa kepercayaan, kempen sumbangan akan lesu, penderma ragu-ragu dan budaya memberi yang subur boleh layu.
Sistem tadbir urus yang telus, audit dalaman dan luaran secara konsisten serta penggunaan teknologi untuk memaparkan kutipan dan agihan secara masa nyata dapat memperkecil ruang manipulasi.
Namun sistem yang baik sahaja tidak mencukupi. Akhlak kukuh dan pendidikan amanah sejak bangku sekolah adalah asas utama.
Anak-anak perlu dididik harta awam adalah tanggungjawab bersama, bukan peluang peribadi. Nilai ihsan mesti menjadi teras melakukan sesuatu seolah-olah Allah sentiasa melihat kita.
Si jujur dan si kaki sapu mewakili dua pilihan yang wujud dalam diri setiap insan. Wang, pujian masyarakat dan kuasa mengurus dana boleh menjadi perangkap jika hati tidak dibentengi takwa. Infak yang dikelola dengan jujur mengangkat martabat penerima, membiayai pendidikan anak yatim dan membantu mangsa bencana. Sebaliknya, infak yang diseleweng merugikan penerima dan merosakkan imej agama.
Memulihkan dan mengekalkan kepercayaan mesti menjadi agenda bersama. Tindakan tegas terhadap penyelewengan, pendedahan telus dan penonjolan kisah kejayaan pengurusan infak yang cemerlang memberi mesej jelas bahawa amanah dihargai. –UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor










