Hormati proses undang-undang rumah ibadat

Hormati proses undang-undang rumah ibadat

ISU rumah ibadat merupakan peringatan penting kepada semua pihak untuk sentiasa menghormati proses perundangan serta institusi yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pendirian tegas beliau yang tiada mana-mana pihak berhak menguatkuasakan undang-undang di tangan sendiri, khususnya dalam isu melibatkan rumah ibadat.

Kenyataan Perdana Menteri bahawa negara ini mesti berasaskan peraturan dan undang-undang bukan atas kehendak atau tindakan mana-mana individu, sebaliknya merupakan peringatan penting kepada semua pihak agar sentiasa menghormati proses perundangan serta institusi yang sah.

Dalam perkara berkaitan rumah ibadat, perlu difahami kementerian berkaitan serta kerajaan negeri mempunyai sistem dan mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) bagi menyelaras, menasihati dan memastikan pematuhan terhadap garis panduan perancangan serta keperluan undang-undang. 

Segala isu dan kebimbangan hendaklah disalurkan melalui saluran rasmi ini dan bukannya melalui tindakan unilateral yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Pada masa  sama, saya menyeru agar pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan proses kelulusan bagi permohonan yang masih tertangguh. Kelewatan berpanjangan boleh menimbulkan salah faham serta ketegangan yang tidak perlu. 

Kecekapan, ketelusan dan komunikasi yang jelas amat penting bagi memastikan isu-isu ini ditangani secara profesional dan adil.

Saya juga menggesa semua agensi kerajaan yang berkaitan supaya memberikan kerjasama penuh serta membantu pemohon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. 

Pendekatan yang tersusun, bersepadu dan berorientasikan penyelesaian akan memperkukuhkan keyakinan rakyat bahawa negara ini benar-benar ditadbir berlandaskan kedaulatan undang-undang serta semangat hormat menghormati antara semua kaum dan agama. –UTUSAN

 

DR. GUNARAJ GEORGE

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN